Jaga baik-baik, jangan jual

KUCHING: Penerima surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dinasihatkan untuk menjaga tanah mereka.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ekoran pembesaran bandar raya Kuching, penerima dari Kampung Rantau Panjang dinasihatkan menjaga surat hak milik tanah dengan sebaik-baiknya.

Jelasnya, bandar raya ini akan mengalami pembesaran, justeru beliau menasihatkan penerima untuk tidak menjual tanah mereka.

“Bandar Kuching semakin membesar. Kalau kita jual tanah ini, di mana lagi kita akan pergi?

“Kampung Rantau Panjang ini terletak berhampiran kawasan bandar dan tanah ini harus dipertahankan untuk kepentingan penduduk dan untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Kampung Rantau Panjang, Kuching di Dewan Taman Eko Sumiran pada Isnin.

Sebanyak 221 surat hak milik tanah kepada 206 penerima telah diserahkan pada majlis itu.

Tambahnya, penerima surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 mendapat pelbagai keistimewaan iaitu tempoh pegangan yang kekal dan tidak perlu membayar premium tanah.

Awang Tengah yang juga Menteri  Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua berkata, di bawah inisatif baharu penyukatan tanah hak milik adat yang diperkenal pada 2010, sejumlah 943,926 hektar tanah telah disukat dan 753,456 hektar telah diwartakan.

Beliau turut memberitahu, sebanyak 360 kampung di seluruh Sarawak telah disukat yang melibatkan lebih 55,849 lot sejak diperkenal pada 2000.

Tambahnya lagi, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk meneruskan kerja penyukatan. “Kita telah menambah kakitangan bagi memperkuat pasukan untuk menjalankan kerja pengukuran.

“Ini melibatkan pembelajaan purata sekitar RM70 juta setahun yang dibayar oleh Kerajaan Sarawak sepenuhnya.

“Kita juga akan meneruskan program penyukatan di bawah program penyukatan kampung tradisi ini,” ujar beliau.

Justeru katanya, mereka yang ingin tanahnya disukat harus membuat permohonan kepada Jabatan Tanah dan Survei untuk kerja penyukatan.

Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Tan Kai mewakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Suara Sarawak