KUCHING: Masyarakat Dayak harus terus bersatu serta mengekalkan perpaduan supaya tidak ketinggalan dan berupaya membantu Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Menteri Permodenan, Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Sri Stephen Rundi Utom berkata, dalam masa yang sama golongan wanita Dayak juga harus berusaha memperkasakan diri dalam bidang ekonomi, pendidikan, pertanian dan sebagainya.
“Masyarakat kita mempunyai pelbagai persatuan seperti Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS), Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU), Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) dan beberapa lagi.
“Tiada masalah kita mempunyai banyak persatuan, tetapi yang penting adalah kita mesti bersatu padu dan mengekalkan perpaduan sekiranya mahu maju dan setaraf dengan kaum lain.
“Kita tidak boleh berpecah belah. Tidak kira di mana anda berada dan apa yang anda lakukan, kita harus ingat bahawa Dayak harus kekal di sini selama-lamanya,” katanya pada Majlis Makan Malam SIDS Fellowship di sini, malam tadi.
Beliau dalam masa yang sama mengingatkan masyarakat Dayak untuk sentiasa menjaga imej baik kerana ia mencerminkan identiti kaum tersebut
“Apa sahaja yang anda lakukan akan memberi kesan kepada kaum kita. Oleh itu, kita harus saling menghargai dan belajar daripada mereka yang mempunyai pengalaman serta saling bertukar pandangan supaya dapat setanding atau lebih baik daripada komuniti lain.
“Anda juga harus menjadi lebih kreatif serta inovatif, jangan leka. Kita mesti ke hadapan dan belajar daripada kesilapan untuk memastikan komuniti ini mempunyai masa depan yang lebih baik,” tegasnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri, Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Adun Pakan Tan Sri William Mawan Ikom; Penasihat SIDS Tan Sri Empiang Jabu dan Presiden SIDS Datuk Ir. Alice Jawan Empaling.

