ARTIKEL

Alexander menyempurnakan simbolik pecah tanah projek menaik taraf Jajaran Red Line di Lebuhraya Pan Borneo Sarawak pada Isnin.

Jajaran Red Line Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dinaik taraf

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kerajaan memperuntukkan RM119 juta bagi menaik taraf jajaran sepanjang 17.1 kilometer (km) yang dikenali sebagai Red Line (Short Stretch atau jajaran pendek) di Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sebagai usaha meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan membabitkan kerja menaik taraf struktur turapan di sembilan lokasi meliputi Lachau, Selangau, Balingian, Kemena, Sebiew dan Tudan.

Alexander meninjau keadaan jalan di Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Beliau berkata, jajaran berkenaan merupakan sebahagian daripada keseluruhan 136.7km laluan yang sebelum ini tidak dinaik taraf ke tahap yang sama seperti jajaran Lebuhraya Pan Borneo yang telah siap.

“Keseluruhannya, jajaran Red Line sepanjang 136.7km ini kita bahagikan kepada dua, iaitu jajaran pendek (Short Stretch) dan jajaran panjang (Long Stretch) bagi memudahkan kerja pelaksanaan dan pemantauan.

“Untuk Short Stretch sepanjang 17.1km, peruntukan RM119 juta telah ditetapkan dan kerja-kerjanya dilaksanakan secara arahan kerja bagi mempercepat pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek menaik taraf Jajaran Red Line di Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Bintulu, hari ini.

Alexander berkata, kontraktor yang dilantik diberi tempoh 16 bulan untuk menyiapkan kerja Short Stretch, namun pihaknya mahu projek itu dapat disiapkan lebih awal sekiranya mampu dilaksanakan.

“Kontraktor dan JKR Sarawak memberi keyakinan kepada kita bahawa kerja ini boleh disiapkan lebih awal daripada tempoh 16 bulan.

“Pemantauan akan dibuat bersama, dengan JKR Sarawak sebagai agensi yang paling hampir dengan projek, manakala Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus memantau pelaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan memberi perhatian khusus kepada jajaran Red Line kerana laluan berkenaan sebelum ini tidak dinaik taraf sepenuhnya di bawah pelaksanaan awal Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo.

Menurut beliau, kira-kira 87 peratus daripada jajaran sedia ada sebelum pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo merupakan jalan tunggal dua lorong bertaraf substandard, iaitu Piawaian JKR R5.

“Jadi, apabila orang menggunakan jalan ini dan melihat ada bahagian yang belum mencapai tahap seperti Lebuhraya Pan Borneo, mereka mungkin menganggap projek itu sudah siap sepenuhnya.

“Red Line ini perlu dinaik taraf supaya tahapnya dapat diselaraskan dengan jajaran Pan Borneo yang telah siap,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi Long Stretch yang merangkumi kira-kira 119 hingga 120km, kaedah pelaksanaan kini sedang diperhalusi oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Sarawak (UKAS) dan KKR bagi membolehkan kerja menaik taraf dimulakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kawasan Salim-Durin antara lokasi yang diberi tumpuan utama dalam jajaran Long Stretch berikutan keadaan laluan yang masih memerlukan penambahbaikan.

“Pengguna di Sarawak sudah tentu mengetahui keadaan di Salim-Durin dan sebab kawasan itu menjadi antara tumpuan kita untuk menyelesaikan isu jajaran Pan Borneo yang belum berada pada keadaan sempurna,” katanya.

Alexander berkata, pemantauan berterusan di lapangan penting bagi memastikan kerja yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan pengguna.

Tambah beliau, KKR turut mengambil pendekatan turun padang secara berkala bagi melihat sendiri keadaan jalan serta perkembangan kerja penyelenggaraan dan naik taraf.

“Yang penting ialah keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya kita di Sarawak,” katanya.

Alexander mendengar taklimat ringkas mengenai projek menaik taraf Jajaran Red Line di Lebuhraya Pan Borneo Sarawak daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Datuk Dr. Cassidy Morris.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU