ARTIKEL

Jalan Baharu Lonjak Sosioekonomi, Buka Tanah Pertanian di Layar – Gerald Rentap

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Pembinaan jalan akses dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ajau, Rumah Panjang Gensurai ke Rumah Panjang Skatap akan menyokong transformasi Stesen Pertanian Bersepadu Layar kepada Pusat Pertanian Komersial di Betong.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, projek jalan baharu sepanjang satu kilometer dengan sebuah jambatan sepanjang 90 meter itu telah diluluskan oleh Premier Sarawak di bawah Projek Rakyat.

“Ini salah satu Projek Rakyat yang diluluskan oleh Premier Sarawak dengan kos RM9,958,000 bagi membuka kawasan pertanian baharu dan meningkatkan aksesibiliti rakyat.

“Dalam masa yang sama, ia menyokong usaha penubuhan Pusat Pertanian Komersial, yang mana kita telah mengenal pasti Stesen Pertanian Bersepadu Layar untuk ditransformasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Pampasan Projek Jalan Akses dari SK Nanga Ajau, Rumah Panjang Gensurai ke Rumah Panjang Skatap di Hab Inovasi Digital Betong, hari ini.

GERALD Rentap menyampaikan cek kepada penerima pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Projek Jalan Akses dari SK Nanga Ajau, Rumah Panjang Gensurai ke Rumah Panjang Skatap di Hab Inovasi Digital Betong. Foto: OSMAN RAZALI

Jelasnya, komitmen kerajaan adalah untuk memastikan aspek biosekuriti agar ternakan atau tanaman tidak dicemari penyakit atau sebagainya.

Siapnya jalan tersebut juga akan memudahkan lagi perjalanan penduduk rumah panjang ke kawasan Pusat Pertumbuhan Desa (RGC), Klinik Kesihatan Mid Layar dan SK Nanga Ajau, sekali gus membuka tanah di kawasan sekitar untuk pertanian yang lebih rancak.

“Kita memang mengharapkan usaha ini dapat meningkatkan sosioekonomi penduduk sekitar khususnya di Rumah Panjang Skatap, Meribong, Nanga Jelau, Jelau Atas, seterusnya ke Batu Lintang, yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Dengan terbukanya lebih banyak kawasan untuk mereka bergiat lebih aktif dalam pertanian komersial, maka saya berharap agar projek ini dapat disiapkan secepat mungkin supaya kita dapat melihat impak sosioekonomi terhadap penduduk di Betong,” ujarnya.

Projek jalan akses tersebut dijangka siap pada 9 Disember 2026.

Semalam, pembayaran pampasan kepada 19 pemilik tanah yang melibatkan RM341,722.80 telah dibuat bagi tanah berkeluasan 4.084 hektar.

Pada majlis yang sama, Rentap turut menyampaikan sumbangan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Kelab Sokanjaya Betong (RM100,000), Kelab Ngepan Iban Betong (RM12,000) dan masing-masing RM5,000 kepada Pasukan Bomba Sukarela Betong dan Rela Betong.

Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Moris Nayup dan Jurutera Bahagian JKR Bahagian Betong, Jason Ng Boon Tuan turut hadir sama.

BERITA LAIN

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi