Jalan berliku menuju puncak

TIADA jalan pintas untuk menggapai kejayaan, jelas Pengarah Urusan Naim Holdings Berhad Datuk Hasmi Hasnan.

Berikutan itu, beliau memberitahu, generasi muda yang ingin mengukir nama dalam apa-apa bidang perlu bekerja keras dan bersikap jujur dan berintegriti tinggi ketika menyampaikan perkhidmatan kepada orang ramai.

“Saya masih bersemangat untuk bekerja tetapi perkara penting yang saya pelajari sejak 25 tahun lalu ialah sikap rendah hati,” katanya dalam wawancara dengan Suara Sarawak di pejabatnya.

Menurutnya, selain menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan, perkara utama ialah integriti kerana sukar mencapai kejayaan tanpanya.

Ditanya tentang falsafah hidupnya, beliau berkata, tiada memilikinya tetapi amat gembira dalam menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

“Saya tidak mempunyai falsafah hidup tetapi saya gembira apabila dapat memberi balik kepada komuniti.

“Sebagai contoh kami membina rumah untuk keluarga John yang separuh siap selama 10 tahun dan isterinya pula lumpuh,” katanya.

Beliau merujuk kepada John Away, penerima bantuan “Better Home” daripada Kumpulan Syarikat Naim di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada tahun lalu.

Tegas Hasmi, pekerja am yang pada peringkat pertengahan usia itu meminta bantuan daripadanya untuk menyiapkan rumah agar memberi keselesaan kepada isterinya.

“Katanya kepada saya ‘Datuk, boleh bantu saya?’ dan saya katakan saya akan lihat apa-apa yang dapat saya bantu.

Akhirnya, kami dapat menyiapkan rumahnya dalam tempoh dua bulan.

“Kami bergotong-royong dan apabila siap, saya melihat air mata kegembiraan John dan isterinya dan ini memberi kepuasan sebenar saya,” ujarnya.

Beliau memberitahu, program di bawah Naim itu akan diteruskan pada masa akan datang dengan beberapa calon telah dikenal pasti dalam membantu membina rumah mereka.

Ditanya mengenai rahsia kejayaan syarikatnya yang meraih banyak anugerah dalam tempoh 25 tahun kewujudannya, Hasmi berkata, ia melambangkan kerja keras dan dedikasi pekerjanya.

“Mereka bekerja keras untuk saya dan amat berdedikasi. Sudah tentu kami mempunyai strategi, namun jika pekerja tidak bersama-sama anda, tidak banyak yang dapat anda lakukan,” ujarnya.

Jelasnya, sementara kerajaan berusaha untuk membantu rakyat berdasarkan polisinya, perkara yang perlu dipertimbangkan ialah pemaju produk memenuhi kemampuan pembeli.

“Ini kerana, kita hanya baik untuk produk sendiri namun tidak mampu menjualnya.

“Malah, kami berjaya menjual 23,000 unit rumah dalam tempoh 25 tahun dan bagi saya ia adalah demi kesejahteraan komuniti,” katanya.

Tambah Hasmi lagi, dalam tempoh 25 tahun lagi, syarikatnya akan menyumbang kembali kepada komuniti dengan membina rumah mampu milik.

“Kami ingin membina 250,000 unit rumah untuk komuniti dan mungkin boleh mencecah sejuta unit pada masa seterusnya.

“Sekiranya kami berjaya mencapainya, para pekerja amat bangga dan jika saya masih bernafas pada masa itu – saya mampu membina sejuta unit rumah untuk komuniti, saya amat bangga dan gembira. Ia akan menentukan arah kehidupan saya,” katanya.

Ditanya perasaan ketika mengimbas kembali pencapaian dan kejayaan, Hasmi memberitahu, ia pengalaman yang amat berharga.

“Saya amat gembira dan pada masa sama berbesar hati kerana sepanjang perjalanan, saya melakukan banyak kesilapan dan tiada orang ingin bercakap mengenai kesilapan lalu.

“Saya banyak belajar daripada kesilapan itu,” ujarnya.

“Semuanya ialah usaha sebuah pasukan yang padu,” katanya ketika menutup wawancara terbabit.

Suara Sarawak