KUCHING: Bandar raya Kuching bakal dipenuhi cahaya dan diwarnai ritma budaya Sabtu ini dengan penyertaan 2,000 peserta daripada 54 kontinjen dalam Perarakan Kuching Street 2025.
Bertemakan Perarakan Cahaya, acara yang bermula pada jam 6 petang itu akan melibatkan Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Main Bazaar, Jalan Wayang, Jalan Temple dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

Menurut Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), tahun ini menyaksikan penyertaan 54 kontinjen yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan, kejiranan mesra serta institusi pengajian tinggi.
“Setiap kontinjen akan mempersembahkan persembahan masing-masing melalui pancaran cahaya, muzik, tarian dan pakaian berwarna-warni yang menggambarkan kepelbagaian budaya rakyat Sarawak,” katanya.

Tambahnya, setiap persembahan bukan sahaja memeriahkan suasana bandar raya, malah menjadi simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Sebanyak 16 jalan di sekitar pusat bandar akan ditutup bagi memberi laluan kepada penganjuran Perarakan Kuching Street 2025.

“Pada 16 Ogos ini, penutupan jalan akan bermula jam 4 petang sehingga acara selesai.
Antara jalan yang terlibat termasuk Bulatan Sri Aman iaitu laluan keluar dari Jalan Padungan, susur ke Bulatan Sri Aman dari Jalan Ban Hock, Jalan Abell Utara, lampu isyarat Jalan Abell/Jalan Petanak, Jalan Sungai Padungan dan lampu isyarat Jalan Padungan.”

“Selain itu, susur ke Jalan Chan Chin Ann dari Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Song Thian Cheok, lampu isyarat Jalan Bukit Mata, Jalan Borneo, susur ke Jalan Main Bazaar di lampu isyarat Jalan Lebuh Wayang/Jalan Main Bazaar, lampu isyarat SK St. Mary, Jalan Temple/Jalan Lebuh Wayang/Jalan Wawasan, susur ke Jalan Tun Abang Haji Openg dari Jalan Main Bazaar/Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan McDougall serta susur ke Jalan Tun Abang Haji Openg dari Jalan Satok di lampu isyarat Radio Televisyen Malaysia (RTM),” katanya.
Tambah DBKU lagi, orang ramai dinasihatkan membuat perancangan awal dan menggunakan laluan alternatif yang telah dimaklumkan bagi mereka yang ingin ke kawasan perarakan.
“Oleh itu, orang ramai disarankan hadir lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan melancarkan perjalanan ke lokasi acara,” jelasnya.
Pun begitu, pihak DBKU memaklumkan bahawa tempat letak kereta untuk orang awam disediakan di Parkir Pelawat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bersebelahan Pangkalan Sapi.
“Jambatan Darul Hana tidak akan ditutup sempena perarakan ini bagi memberi kelancaran pergerakan pengunjung dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar.
“Bahkan, kawasan parkir di sekitar DUN juga akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada hari berkenaan.”
Perarakan Kuching Street 2025 merupakan sebahagian daripada sambutan Pesta Kuching 2025 yang turut diserikan dengan pelbagai acara menarik antaranya Hari Bandar Raya Kuching ke-37 pada 1 Ogos, DBKU Mayor Run pada 3 Ogos dan BandarayaKU Berselawat pada 15 Ogos lalu, selain pelbagai aktiviti komuniti lain.
Untuk rekod, Perarakan Kuching Street kali pertama diadakan pada Ogos 2023 bersempena sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka dengan bertemakan “Sarawak Maju Makmur”.

