KUCHING: Projek pembinaan jalan baharu sepanjang kira-kira tujuh kilometer yang menghubungkan laluan ke Kolej Universiti i-CATS di Trombol kini berada dalam proses tender.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, laluan lingkaran tersebut akan bermula dari penghujung Lebuhraya Pehin Sri Haji Adenan bin Haji Satem (Lebuhraya FAC).
“Projek ini sudah berada di peringkat tender oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan akan dilaksanakan pada fasa pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Laluan menuju ke kolej baharu itu akan melibatkan pembinaan jalan dua lorong,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat serta tinjauan ke Jambatan Batang Rambungan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pembinaan Jambatan Batang Rambungan memainkan peranan penting sebagai antara komponen utama rangkaian jalan pesisir bagi memastikan keterhubungan tersebut.
“Jalan pesisir kita dari Simpang Sampadi ke Lundu akan menjadi laluan yang menghubungkan penduduk ke sebuah lagi jalan baharu menuju ke universiti di Trombol.
“Inilah yang kita mahu laksanakan pada fasa RMK-13,” katanya.
Tambah beliau, terdapat lapan buah jambatan kecil yang telah berjaya disiapkan di sepanjang laluan pesisir Sampadi ke Lundu.
“Maknanya tinggal satu sahaja lagi iaitu Jambatan Batang Rambungan yang perlu disiapkan pada tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, projek Jambatan Batang Rambungan yang dikendalikan oleh Titanium Project Management Sdn Bhd melibatkan kos sebanyak RM82 juta. Jambatan sepanjang 560 meter itu dijangka siap sepenuhnya sebelum Disember 2026.

