KUCHING: Pihak berkaitan digesa mengambil tindakan segera termasuk menjalankan kajian menyeluruh bagi mengurangkan risiko kemalangan maut di beberapa laluan utama di Kuching dan Kota Samarahan.
ADUN Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, langkah itu penting kerana ia merupakan laluan utama pergerakan penduduk tempatan dalam menjalankan aktiviti harian termasuk bekerja bersekolah dan sebagainya.
“Insiden kemalangan yang berlaku disebabkan oleh keadaan jalan tidak kondusif, laluan sempit, kekurangan penghadang, serta pencahayaan tidak mencukupi.
“Kita mahu mengelakkan kejadian ngeri berlaku. Kesian dengan mangsa dan keluarga. Contohnya jika Jalan Bukit Berangan kerap sangat berlaku kemalangan mau,t tukar sahaja nama jalan itu kepada ‘Jalan Parai’ yang bermaksud jalan maut.
“Jadi, bukankah sudah sampai masanya penambahbaikan dan kajian terperinci dibuat. Justeru, saya menyeru pihak berkaitan untuk segera mengambil tindakan yang perlu” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Menurut Hamzah, keadaan jalan berhampiran pintu masuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang terjejas akibat lencongan projek pembinaan jalan juga terus membimbangkan pengguna.
“Pada 21 Oktober lalu, seorang wanita maut dan dua lagi cedera dalam kemalangan di jalan tersebut dan saya memohon penjelasan daripada agensi berkaitan mengenai punca sebenar isu keselamatan ini, dan apakah langkah segera yang diambil” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan menaik taraf jalan akses ke kawasan selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang kini hanya mempunyai satu lorong bagi setiap arah.
“Jalan satu lorong sudah tidak mampu menampung jumlah trafik yang semakin meningkat. Ia bukan hanya menyebabkan kesesakan teruk, malah meningkatkan risiko kemalangan.
“Saya juga menggesa pemasangan lampu jalan secara menyeluruh di laluan sama dengan kadar segera demi keselamatan semua” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar isu ketiadaan penghadang jalan berhampiran Sekolah Tunas Bakti Kuching di Jalan Datuk Mohd Musa turut diberikan perhatian.
“Pemasangan penghadang ini merupakan langkah pencegahan yang menyelamatkan nyawa kerana sering berlaku kemalangan dengan kenderaan terbabas ke laluan bertentangan.
“Selain itu persimpangan T Jalan Berlian juga memerlukan pembinaan lampu isyarat demi kelancaran dan keselamatan pengguna” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau membangkitkan keperluan memperkemas mekanisme pemberitahuan projek pembangunan oleh Unit Perancangan Negeri (SPU).
“Wakil rakyat sering kali tidak dimaklumkan mengenai projek yang diluluskan di kawasan mereka. SPU perlu ada prosedur pemberitahuan rasmi, mesyuarat prapelaksanaan, serta laporan kemajuan secara berkala. Ini penting supaya pemantauan dapat dibuat dan masalah dapat ditangani lebih cepat” jelasnya.
Beliau menambah bahawa, komunikasi yang jelas antara agensi pelaksana SPU dan wakil rakyat akan memastikan setiap projek benar-benar memberi manfaat kepada komuniti tempatan tanpa menimbulkan konflik atau kelewatan.



