KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melaksanakan pembinaan jalan utama menuju ke Telaga Air bagi memudahkan perjalanan pengunjung ke destinasi tersebut, kata Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) merangkap ADUN Pantai Damai itu berkata, jalan tersebut melibatkan Lebuhraya Pehin Sri Haji Adenan bin Haji Satem (Lebuhraya FAC) sehingga ke Tebingan Sungai Telaga Air.

“Jalan sepanjang 4.6 kilometer ini antara rancangan untuk memastikan laluan ke lokasi tersebut lebih mudah pada masa akan datang.
“Sekali gus, bertujuan mengurangkan potensi kesesakan jalan raya apabila ada sambutan atau acara yang diadakan di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Regatta Telaga Air 2023 di Telaga Air Esplanad, di sini, hari ini.
Sehubungan itu katanya, pembinaan jalan ini pada masa sama dapat memajukan sektor sosioekonomi masyarakat setempat kerana berpeluang untuk menerima kehadiran pengunjung lebih banyak.
“Pelbagai usaha pembangunan sudah dirancang untuk membangunkan lagi Telaga Air sebagai kawasan pelancongan, sambil meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat.
“Dengan keunikan yang ada di kawasan ini termasuk variasi sajian makanan laut, pemandangan sungai dan gunung serta lain-lain, kawasan ini berpotensi untuk diangkat sebagai satu kawasan pelancongan kelak,” jelasnya.

