KUCHING: Penganjuran acara sukan tidak hanya dilihat sebagai landasan bagi individu terlibat mengetengah bakat serta menguji kemampuan diri dalam acara sukan yang diceburi.
Sebaliknya, ia antara elemen terbaik untuk merapatkan hubungan silaturahim mengambil kira pembabitan golongan sasar pada skala yang besar.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, dapat disaksikan apabila adanya penganjuran sesuatu aktiviti sukan yang turut disertai ramai individu.
“Bermula dari situ, mereka berkenalan dengan ramai individu lain yang mewakili pasukan pelbagai.
“Secara tidak langsungnya akan membentuk hubungan yang harmoni,” katanya ketika berucap mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Makan Malam Kejohanan Jemputan Tenis Piala Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah 2023 di salah sebuah hotel terkemuka di bandar ini malam tadi.
Menurut Rentap, sejajar dengan objektif penganjuran kejohanan itu yang secara tidak langsung dapat meningkatkan kerjasama antara semua pemain.
Selain itu katanya, ia dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan pemain.
Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) merangkap ADUN Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep dan Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA), Datuk Patrick Liew.



