SATU video yang memaparkan penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah, menegur anak-anaknya yang bermain di tempat minum air lembu mencuri perhatian ramai di media sosial. Video tersebut memperlihatkan sisi berbeza Raja Pop itu sebagai seorang ayah yang tegas, namun tetap mencuit hati.
Dalam video yang tular itu, kelihatan dua anak kecil Jamal dalam keadaan basah kuyup, duduk diam selepas ditegur kerana berkubang di kawasan kotor yang digunakan lembu untuk minum. Walaupun tegurannya tegas, nada suara Jamal yang bersahaja dan lunak membuatkan ramai warganet terhibur.
“Duduk sana, jangan bangun. Kena tanduk dengan lembu orang ni baru tahu. Duduk diam-diam.
Apa lah korang ni,” ujar Jamal dalam nada seolah-olah sedang menyanyi, yang mengundang pelbagai reaksi lucu daripada penonton. Salah seorang anaknya dilihat mula menangis selepas dimarahi, dipercayai terkejut dengan teguran bapanya.
Momen itu menambah elemen menghiburkan dan menyentuh hati dalam video tersebut.
Rata-rata orang ramai berkongsi komen mengatakan suara Jamal kekal merdu walaupun ketika sedang menegur anak, dan ada yang berseloroh ingin dimarahi dengan suara seperti itu.
Malah, ada juga yang memuji cara Jamal mendidik anak dengan penuh kasih sayang tetapi tetap berdisiplin. Untuk rekod, Jamal mendirikan rumah tangga dengan Datin Zai Izzati Khiruddin pada 1 April 2017.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Nur Azura Yamani, enam tahun, dan El-Isaac Yamani, lima tahun.
Selain Azura dan Isaac, penyanyi lagu Kekasih Awal dan Akhir itu turut mempunyai dua orang anak lelaki dewasa daripada perkahwinan terdahulu, iaitu Osama Yamani, 24 tahun, dan Ahmad Zaki Yamani, 19 tahun.



