ARTIKEL

Stephen Rundi semasa berucap pada majlis perasmian Jambatan Batang Kemena yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Sebauh pada Isnin.

Jambatan Batang Kemena Buka Peluang Ekonomi, Pacu Pembangunan Sebauh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Pembukaan Jambatan Batang Kemena bakal menjadi pemangkin transformasi pembangunan Sebauh, sekali gus membuka lembaran baharu dalam memperkukuh kesalinghubungan, merancakkan aktiviti ekonomi dan meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan itu.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pembinaan jambatan berkenaan merupakan pencapaian penting yang dinantikan sekian lama oleh penduduk selepas bertahun-tahun bergantung kepada perkhidmatan feri dan pengangkutan sungai untuk menyeberangi Batang Kemena.

Beliau berkata, sebelum perkhidmatan feri diperkenalkan pada 2016, penduduk terpaksa menggunakan bot, manakala kemudahan feri yang disediakan selepas itu pula mempunyai kapasiti terhad sehingga menyebabkan mereka terpaksa beratur panjang dan menunggu antara 30 minit hingga sejam.

Malah, katanya, operasi feri yang hanya berlangsung sehingga 10 malam turut menyukarkan pergerakan penduduk, khususnya mereka yang pulang lewat dari Bintulu kerana terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh untuk ke Sebauh.

“Hari ini, kita akhirnya dapat menyaksikan perubahan penting ini selepas bertahun-tahun menunggu. Saya berterima kasih kepada penduduk Sebauh atas kesabaran mereka serta Premier Sarawak atas keprihatinan membawa pembangunan ke kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Jambatan Batang Kemena yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Sebauh pada Isnin.

Menurutnya, keutamaan pembangunan selepas ini perlu diperluas kepada kawasan pedalaman dan penempatan luar bandar di sekitar Sebauh, khususnya Ulu Binyo, Ulu Pandan, Jelalong dan Tubau, selain beberapa kawasan di Tatau yang masih memerlukan kemudahan infrastruktur lebih baik.

Katanya, penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Bintulu (BIRDCOM) hasil perbincangan bersama Premier Sarawak diharap dapat menyelaras perancangan pembangunan serta mengenal pasti keperluan infrastruktur penduduk, termasuk di kawasan yang jauh dari pusat bandar Bintulu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebuah taman pertanian pintar di Pusat Latihan Pertanian (ATC) Sungai Sebiew dijangka siap tahun depan dengan mengintegrasikan teknologi IoT, sistem pertanian moden serta konsep taman agro bagi menarik lebih ramai penyertaan masyarakat, khususnya golongan muda.

Projek yang membabitkan peruntukan kerajaan berjumlah puluhan juta ringgit itu bertujuan menyediakan lebih banyak peluang kepada komuniti luar bandar untuk menceburi bidang pertanian moden, sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah.

Menurutnya, pelaksanaan pelbagai inisiatif berkenaan turut menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan peningkatan pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM50,000.

Beliau turut mengingatkan masyarakat setempat supaya mengurus dan melindungi tanah hak adat bumiputera (NCR) masing-masing menerusi perancangan teratur serta kerjasama erat dengan kerajaan bagi memastikan aset berkenaan terus memberikan manfaat kepada generasi akan datang.

Katanya, kemudahan perhubungan yang lebih baik hasil pembukaan jambatan itu perlu dimanfaatkan secara strategik oleh masyarakat untuk meneroka peluang ekonomi, memperluas aktiviti perniagaan dan meningkatkan penyertaan dalam arus pembangunan.

BERITA LAIN

SKAS Fasa 3 Mula Disalurkan Esok

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mula menyalurkan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) Fasa 3 mulai esok kepada penerima sedia ada serta penerima baharu yang layak.

BERITA TERBARU

SKAS Fasa 3 Mula Disalurkan Esok

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mula menyalurkan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) Fasa 3 mulai esok kepada penerima sedia ada serta penerima baharu yang layak.