ARTIKEL

JAWAB SOALAN… Uggah menjawab soalan daripada pemberita ketika ditemui selepas melawat tapak pembinaan jambatan berkenaan di sini hari ini. Foto Aliff Noni.

Jambatan Batang Lupar 1 Capai 84% Kemajuan, Dijangka Siap Februari 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEBUYAU: Projek pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 yang bakal menjadi jambatan terpanjang di Malaysia kini mencapai kemajuan 84 peratus dan dijangka dapat digunakan pada sambutan Hari Gawai 2026.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan yang mempunyai panjang 4.8 kilometer dengan tiang setinggi 111 meter itu akan menjadi mercu tanda baharu Sarawak sekali gus memendekkan masa perjalanan di kawasan pesisir.

“Kami telah diberi taklimat mengenai perkembangan pembinaan ini yang bermula pada 7 Januari 2021 dan secara keseluruhannya kami berpuas hati walaupun terdapat beberapa masalah.

RAKAM KENANGAN… Uggah merakam kenangan bersama pihak JKR dan kontraktor pembinaan. Foto Aliff Noni.

“Satu daripada masalah yang dikenal pasti ialah isu pada tiang nombor 52. Bagaimanapun masalah tersebut akan dapat diselesaikan oleh pihak kontraktor,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan jambatan berkenaan di sini hari ini.

Projek pembinaan jambatan yang melibatkan kos RM848.7 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada 28 Februari 2026, sekali gus menjadi mercu tanda baharu menghubungkan kawasan pesisir Sebuyau dan Triso di Bahagian Samarahan dan Betong.

Jambatan yang dibina mengikut Piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) R5 itu akan menggantikan sepenuhnya perkhidmatan feri Batang Lupar yang sebelum ini menjadi penghubung utama penduduk setempat.

Sementara itu, Uggah merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, turut mengucapkan penghargaan kepada kontraktor yang berusaha sedaya upaya mengatasi cabaran di kawasan pembinaan yang terletak di muara sungai berhampiran laut.

“Ia merupakan kawasan yang tidak dapat dijangka, namun dengan kepakaran mereka masalah ini dapat diatasi. Kami berharap semua kontraktor menunaikan tanggungjawab menyiapkan projek mengikut jadual,” ujarnya.

SIAP 2026… Projek pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 dijangka siap pada Februari 2026. Foto Alif Noni.

Menurutnya, JKR akan terus turun padang untuk menilai, mengkaji, mengenal pasti dan membincangkan masalah supaya projek tidak tergendala.

Ia susulan Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk meminimumkan jumlah projek sakit di Sarawak kerana projek-projek seperti ini amat penting, jelasnya.

Beliau menambah, Kerajaan Sarawak kini sedang membina sebanyak 16 jambatan besar termasuk Jambatan Marina, Miri dengan peruntukan berjumlah RM6.53 bilion.

“Harapan kita adalah agar perbelanjaan ini dapat digunakan dengan sebaiknya kerana ia membantu pembangunan ekonomi serta merangsang pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

“Kami juga berharap projek-projek ini dapat menyelesaikan masalah perhubungan. Pada penghujung 2026 nanti apabila kita memandu dari Kuching ke Miri kita tidak lagi perlu menggunakan feri.

“Ini bukan tugas yang ringan sebaliknya ia adalah tugas yang berat. Rakyat juga mengharapkan projek ini siap mengikut jadual. Setakat ini kami akan terus memantau dan mencari cara untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi,” ujarnya.

LAWATAN… Sekitar lawatan Uggah di tapak pembinaan jambatan berkenaan di sini hari ini. Foto Aliff Noni.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU