SARIKEI: Projek pembinaan Jambatan Batang Paloh kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 90.49 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober, sekali gus menjadi pemangkin utama peningkatan jaringan perhubungan di kawasan pesisir Bahagian Mukah.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, perkembangan positif itu mencerminkan komitmen tinggi semua pihak dalam memastikan projek strategik berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Katanya, projek tersebut merupakan antara inisiatif penting kerajaan negeri dalam memperkukuh sistem pengangkutan darat, khususnya bagi memudahkan mobiliti penduduk luar bandar serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
“Taklimat berkaitan perkembangan projek disampaikan oleh Jurutera Bahagian Mukah bersama pihak kontraktor, yang turut menjelaskan status semasa serta perancangan pelaksanaan seterusnya,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Daerah Daro.
Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau projek pembinaan jambatan baharu yang akan menggantikan struktur lama jenis Bailey Bridge di beberapa lokasi di Pulau Bruit.
Antara kawasan terlibat ialah Kampung Penuai, Kampung Betanak, Kampung Salah Kecil dan Kampung Penipah, yang kini mencatat kemajuan pelaksanaan sebanyak 56.49 peratus dan dijangka siap pada 21 Mei 2027.
Projek berkenaan dijangka membawa perubahan besar kepada penduduk setempat dengan menyediakan akses yang lebih selamat, lancar dan boleh dipercayai ke kawasan kampung yang sebelum ini bergantung kepada kemudahan lama.
Jelas beliau lagi, usaha berterusan kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak membuktikan kesungguhan dalam memastikan setiap projek infrastruktur dilaksanakan secara berkualiti, menepati tempoh masa serta memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.

