SAMARAHAN: Pembinaan Jambatan Batang Samarahan Baharu dan Jalan Empat Lorong Dua Hala sepanjang 9.14 kilometer (km) mengikut piawaian R5 JKR dari Batang Samarahan ke Batang Sadong yang mula dilaksanakan Ogos lalu dijangka siap menjelang Februari 2027.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, pembinaan Projek Jalan Utama Kedua Pakej A1-A itu yang membabitkan kos sebanyak RM529,828,000 akan memudahkan dan mengurangkan masalah kesesakan di jalan utama menghubungkan Kota Samarahan dengan Kuching.

‘’Jambatan Batang Samarahan Baharu ini akan dibina di sebelah Jambatan Batang Samarahan yang sedia ada dan kerja-kerja pembersihan tapak kini sedang dijalankan.
“Jalan tersebut akan menghubungkan kawasan ini ke Jambatan Batang Sadong selain ke rangkaian Jalan Utama Kedua yang lain dari sini ke Sejingkat,’’ katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan di sini, hari ini.
Pembinaan Jambatan Sungai Sarawak di Sejingkat membabitkan tiga pakej iaitu Pakej D3A, D3B dan D3C dengan Pakej D3A tidak termasuk jalan penghubung.
Manakala bagi Pakej D3B, ia akan melibatkan projek menaik taraf jalan Tanjung Bako sepanjang 9 km kepada standard R5 dan bagi Pakej D3C adalah pembinaan jalan baharu sehala sepanjang 7 km dari Tanjong Bako menuju Jambatan Batang Samarahan Baharu.
Sehubungan itu, IR Aidel Lariwoo yang juga ADUN Sadong Jaya menambah, bagi Pakej D3C melibatkan peruntukan berjumlah RM106,968,880 dijangka dapat disiapkan menjelang Februari 2026 dengan tempoh kontrak projek selama 30 bulan.
‘’Jika kesemua projek dapat disiapkan nanti, sudah tentu kepesatan pembangunan dapat dirasai penduduk dan akan dibangunkan di sekitar kawasan persisir.
“Di samping mengurangkan kesesakan jalan raya kerana penduduk dari kawasan pesisir boleh memandu terus ke Kuching melalui laluan baharu ini,’’ ujarnya menambah jalan itu dapat memendekkan masa perjalanan ke bandar raya Kuching.



