KUCHING: Dakwaan bahawa pembinaan Jambatan Sejingkat menyebabkan operasi Pelabuhan Pending terjejas adalah tidak tepat, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau menjelaskan Pelabuhan Pending masih beroperasi sepenuhnya dan dakwaan sebaliknya mungkin berpunca daripada kekeliruan mengenai perkembangan sektor pelabuhan di Sarawak.
“Saya sangat kecewa apabila ada pihak memperkecilkan pembinaan jambatan ini dan mendakwa kerana jambatan ini, Pelabuhan Pending sudah mati.

“Saya fikir beliau tidak benar-benar mengetahui apa yang sedang berlaku.
Kenyataan itu tidak tepat sama sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyambungan terakhir struktur Jambatan Sejingkat, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty) Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Pengarah JKR Sarawak Datuk Dr Cassidy Morris dan tetamu kehormat lain.
Selain itu, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata pihak Lembaga Pelabuhan Kuching (KPA) juga sudah memberikan penjelasan menyeluruh mengenai keadaan sebenar operasi pelabuhan berkenaan.
Katanya, Pelabuhan Pending masih beroperasi seperti biasa walaupun kerajaan negeri pada masa sama sedang merancang pembangunan infrastruktur pelabuhan baharu bagi memenuhi keperluan ekonomi Sarawak pada masa depan.
Menurutnya, pembangunan pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang perlu dilihat dalam konteks pertumbuhan ekonomi Sarawak dan bukannya sebagai pengganti segera kepada Pelabuhan Pending.
“Kita melihat jauh melangkaui Senari dan Pelabuhan Pending. Ini bukan kerana Jambatan Sejingkat, tetapi kerana jumlah perniagaan dan jenis perniagaan yang akan masuk ke Sarawak semakin meningkat,” tegasnya.
Tambahnya, Sarawak dijangka terus menerima manfaat daripada kelebihan daya saingnya dalam sektor tenaga, termasuk pelaksanaan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak, yang dijangka menarik lebih banyak pelaburan.
Katanya lagi, peningkatan aktiviti ekonomi itu memerlukan Sarawak menyediakan infrastruktur jalan raya dan pelabuhan yang mampu menampung pertumbuhan berkenaan.
“Kerajaan Sarawak bukan sekadar melaksanakan projek tanpa memikirkan hasil dan kesan sosioekonomi kepada negeri.
“Kita melihat lebih jauh. Sebab itu kerajaan negeri kini melihat keperluan melangkaui Senari dan Pending,” katanya.
Dalam pada itu, Uggah berkata pembangunan pelabuhan laut dalam Tanjung Embang adalah antara perancangan jangka panjang kerajaan negeri bagi menyediakan kemudahan pelabuhan yang lebih berkeupayaan dan cekap.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur berkenaan penting untuk menyokong sasaran Sarawak mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan serta memastikan manfaat pembangunan akhirnya dapat meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Kerajaan negeri mahu memastikan transformasi ekonomi Sarawak bukan sahaja menjadikan negeri itu berpendapatan tinggi, malah turut membantu rakyat menikmati pendapatan yang lebih tinggi menjelang 2030,” ujarnya.




