KUCHING: Jambatan Sejingkat sedia digunakan dan dibuka kepada pengguna jalan raya bermula 5 Oktober 2026 (Isnin), jam 10 pagi.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berkata, pembukaan jambatan ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh rangkaian infrastruktur jalan raya.
“Pada masa sama, langkah ini meningkatkan tahap kesalinghubungan antara kawasan Kuching dan Samarahan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, pembukaan jambatan ini bakal menjadi laluan alternatif yang lebih efisien, meningkatkan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya serta memperkukuh akses antara kawasan Sejingkat, Tanjung Bako dan kawasan sekitarnya.
“Infrastruktur ini juga akan menyokong pembangunan sosioekonomi setempat melalui peningkatan mobiliti penduduk, pergerakan barangan serta akses kepada kawasan pembangunan dan perindustrian,” katanya.
Sehubungan itu, JKR Sarawak menyeru semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi papan tanda, had laju dan arahan keselamatan yang ditetapkan, khususnya sepanjang tempoh awal pembukaan jambatan.
“Pengguna juga diminta supaya memandu dengan berhemah dan memberikan kerjasama bagi memastikan pergerakan trafik berlangsung dengan selamat dan lancar,” tegasnya.
Tambahnya, pembukaan Jambatan Sejingkat mencerminkan komitmen berterusan JKR Sarawak dalam menyediakan infrastruktur yang selamat, berkualiti dan berdaya tahan demi memenuhi keperluan rakyat serta menyokong pembangunan Sarawak untuk jangka panjang.
“Jambatan ini sekali gus menjadi satu lagi mercu tanda kejuruteraan baharu di Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Jambatan Sejingkat dibangunkan sebagai sebahagian daripada rangkaian jalan alternatif Kuching–Samarahan dengan kepanjangan sekitar 1,281.2 meter.
Jambatan tersebut dibina mengikut piawaian JKR R5, dengan struktur utama jambatan menampilkan reka bentuk jambatan kabel penahan yang merentasi Sungai Sarawak.




