MIRI: Cabaran perjalanan hampir dua hari melalui jalan balak dari Miri ke Bario menjadi antara faktor utama pembinaan Jambatan Sungai Bale bernilai RM2.7 juta bagi memperkukuh sistem perhubungan di kawasan pedalaman Ulu Baram.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, pengalaman menyusuri laluan sejauh lebih 370 kilometer itu memberi gambaran jelas kesukaran yang dihadapi masyarakat pedalaman serta keperluan mendesak untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan.
“Pembinaan jambatan keluli bermodular ini merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat di kawasan pedalaman menikmati akses yang lebih selamat, selesa dan berdaya tahan.
“Lawatan kerja Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama-sama pegawai kanan kementerian dan Jabatan Kerja Raya (JKR) ke Bario tahun lalu menjadi titik permulaan kepada pelbagai keputusan penting yang kini dilaksanakan untuk manfaat rakyat di kawasan pedalaman.
“Perjalanan yang mengambil masa hampir dua hari melalui jalan balak membolehkan kerajaan melihat sendiri cabaran sebenar yang dihadapi penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas merasmikan Jambatan Sungai Bale di Ulu Baram, hari ini.
Tambah beliau, jambatan yang siap pada Mac lalu tersebut memberi manfaat secara langsung kepada 19 rumah panjang serta lapan jabatan dan agensi kerajaan di kawasan Bario.
Dalam perkembangan berkaitan, Gerawat berkata Jambatan Sungai Bale merupakan yang pertama daripada tiga jambatan keluli bermodular dibekalkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memenuhi keperluan mendesak di kawasan pedalaman Sarawak.
“Dua lagi ialah Jambatan Sungai Benuang di Long Jeeh yang kini dalam pembinaan dengan kos RM1.9 juta, manakala Jambatan Sungai Bunau di Long Tebangan dibina dengan kos RM2.2 juta,”tambahnya.
Beliau berkata lebih 20 projek penaiktarafan jalan melibatkan lebih 400 kilometer laluan dilaksanakan di Ulu Baram menerusi Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dengan kos melebihi RM1.2 bilion.
“Projek Jalan Miri-Marudi-Mulu-Long Panai-Long Lama bernilai lebih RM3 bilion yang sedang dilaksanakan dijangka menjadi pemangkin pembangunan baharu di kawasan pedalaman selain membuka akses yang lebih baik kepada penduduk di Apoh-Tutoh dan Baram,”katanya.

