ARTIKEL

Douglas Uggah mendengar taklimat mengenai perkembangan terkini projek pembinaan Jambatan Sungai Krian di sini, hari ini. Foto: OSMAN RAZALI

Jambatan Sungai Krian Sedia Digunakan Menjelang Raya Ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARATOK: Jambatan Sungai Krian dijangka dibuka untuk kegunaan orang ramai sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Mac depan.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, baki lima peratus kerja akhir pembinaan diharap dapat disiapkan mengikut jadual sekiranya keadaan cuaca kekal baik.

“Kita berharap cuaca akan terus baik dalam tempoh sebulan ini memandangkan kita menyasarkan untuk menyiapkan Jambatan Sungai Krian sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Sebelum Syawal, maka dapat dibuka untuk kegunaan umum,” katanya kepada media selepas menyempurnakan kerja penyambungan segmen terakhir struktur jambatan tersebut di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, projek pembinaan Jambatan Sungai Krian yang bernilai RM112,499,580.09 itu kini mencapai tahap kemajuan 95 peratus dan dijadualkan dibuka kepada aliran trafik pada 15 Mac 2026.

Jambatan Sungai Krian melibatkan jajaran keseluruhan sepanjang 1.227 kilometer yang bersambung terus ke Projek Jalan Pesisir Pakej A5 ke Roban.

Tambah Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu, jambatan yang dibina oleh EPR (Kuching) Sdn. Bhd. bermula 25 Mac 2019 tersebut bertujuan menyediakan laluan alternatif strategik selain Lebuh Raya Pan Borneo.

Douglas Uggah bersama tetamu kenamaan lain merakamkan kenangan selepas menyempurnakan simbolik kerja penyambungan segmen terakhir struktur Jambatan Sungai Krian di sini, hari ini. Foto: OSMAN RAZALI

“Ia mengurangkan kebergantungan terhadap perkhidmatan feri yang selama ini menjadi penghubung utama di kawasan ini.

“Dengan siapnya jambatan ini kelak, tempoh perjalanan menggunakan feri yang lazimnya mengambil masa sekitar 15 minit dijangka dapat dipendekkan kepada hanya sekitar satu minit sahaja,” ujarnya.

Uggah turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, perunding (Opus Consultants), kontraktor, penduduk setempat serta wakil rakyat yang membantu melancarkan pelaksanaan pembinaan jambatan berkenaan.

“Dengan kerjasama semua pihak, kita dapat menikmati satu lagi infrastruktur perhubungan yang sangat penting,” tambahnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri; ADUN Beting Maro, Datuk Razaili Gapor; ADUN Krian, Friday Belik; Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datuk Ir Dr Cassidy Morris serta Jurutera Bahagian JKR Betong, Jason Ng Boon Tuan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU