ULU BARAM: Jambatan Sungai Paong Long Apu yang kini sedang dalam pembinaan dijangka siap sebelum sambutan Krismas tahun ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Datuk Dennis Ngau.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Blok Rumah Panjang Baharu Kampung Long Apu di sini, pada Jumaat.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala dan Ahli Parlimen Baram Datuk Anyi Ngau.
Menurut Dennis, beliau telah menghubungi pihak kontraktor terlibat, Faro Engineering (M) Sdn. Bhd. dan telah diberi jaminan bahawa projek pembinaan Jambatan Sungai Paong Long Apu dijangka siap sebelum sambutan Krismas akan datang.


“Pada kesempatan ini juga saya ingin memohon maaf kepada seluruh penduduk kerana Jambatan Sungai Paong yang sedang diusahakan masih belum sempat disiapkan untuk kemudahan masyarakat pulang menghadiri majlis ini (perasmian blok baharu rumah panjang).
Kata Dennis, inilah antara adalah usaha kerajaan GPS dalam memastikan kemudahan perhubungan rakyat di kawasan pedalaman terus dipertingkatkan.
Berdasarkan notis tarikh projek, pembinaan Jambatan Sungai Paong Long Apy telah bermula pada 5 Januari dan dijadualkan siap pada 4 September 2026.
Kampung Long Apu mempunyai kira-kira 1,000 penduduk dan 193 pintu dengan 14 blok rumah panjang sekali gus menjadikan Long Apu antara rumah panjang ketiga terbesar di DUN Telang Usan sebelum Long Bemang (pertama) dan Long Bedian (kedua).


Untuk rekod, sebelum ini Jambatan Sungai Paong Long Apu berstruktur kayu telah dihanyutkan banjir besar pada 17 April 2021 dan sejak itu, ia menjejaskan aktiviti harian penduduk kerana mereka terpaksa memandu merentasi sungai berkenaan setiap hari.
Sekiranya hujan berlarutan, penduduk kampung tidak dapat merentasi sungai berkenaan dan mereka harus menunggu sehingga air surut.
Jambatan Sungai Paong adalah antara beberapa jambatan yang terjejas akibat hujan lebat yang luar biasa yang menjejaskan Ulu Baram pada ketika itu.
Disebabkan pelbagai cabaran, projek Jambatan Sungai Paong ini mengambil masa lebih empat tahun untuk dimulakan sebelum dilancarkan pada Januari 2026.
Projek ini merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan berterusan di kawasan pedalaman Telang Usan bagi meningkatkan kesalinghubungan jalan raya dan taraf hidup penduduk rumah panjang
Setelah siap nanti, Jambatan Sungai Paong akan meningkatkan ketersambungan dan keselamatan penduduk kampung.

