Jambatan terpanjang merentasi sungai

SEBUYAU: Jambatan Batang Lupar boleh dikategorikan sebagai Raja Jambatan kerana bukan sahaja menjadi jambatan paling panjang merentasi sungai di Sarawak bahkan di Malaysia, kata Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi (gambar).

Untuk rekod, jambatan terpanjang di negara ini ialah Jambatan Pulau Pinang yang merentasi laut sepanjang 24 kilometer manakala yang terpanjang merentasi sungai ialah Jambatan Batang Lupar.

Menurut Julaihi, pembinaan jambatan bernilai RM848 juta ini merangkumi dua komponen iaitu membina jalan jambatan di sebelah Sebuyau sepanjang 3 kilometer (km) dan satu lagi jalan ke jambatan di Triso sepanjang 2.8 km – mula dibina sejak tahun lepas dengan kos sebanyak RM66 juta.

Selain itu katanya, pembinaan juga membabitkan struktur Jambatan Batang Lupar sepanjang  4.8 km dengan dua lorong sehala yang mempunyai piawaian jalan sesuai standard jalan JKR R5 manakala verticle clearance setinggi 26 meter membolehkan kapal melalui jambatan tersebut.

“Manakala 600 meter jambatan ini nanti merupakan jambatan ikonik jenis kabel penahan. “Jambatan Batang Lupar merupakan jambatan paling strategik terletak di laluan jalan pesisir yang diguna semua pengguna dari seluruh Sarawak” katanya pada Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Lupar yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Tan Sri James Jemut Masing dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.

Julaihi menambah, jambatan itu apabila siap kelak juga akan menjadi pelengkap kepada jalan pesisir Sarawak.  “Ia dapat memendek dan memudahkan lagi perjalanan dari selatan menuju utara Sarawak tanpa kesesakan, berbaris panjang menunggu feri dan mengharungi ombak untuk menyeberangi muara Sungai Batang Lupar yang bergelora,” katanya.

Beliau berkata, projek Jambatan Batang Lupar merupakan salah satu daripada tiga projek jambatan yang dibatalkan pembinaannya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk Jambatan Batang Igan dan Batang Rambungan.

Katanya, projek Jambatan Batang Lupar sepatutnya dikongsi masing-masing 50 peratus antara kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.  “Jambatan Batang Lupar merupakan jambatan paling strategik di laluan jalan pesisir.

“Kalaulah projek ini tidak dibatalkan oleh Kerajaan PH, saya percaya pada hari ini mungkin pembinaannya  sudah mencapai 50 peratus,” katanya.

Julaihi berkata, pembatalan projek besar oleh Kerajaan PH harus diambil iktibar sebagai pengajaran supaya rakyat Sarawak tidak tersilap langkah dan termakan janji manis untuk memancing undi apabila tiba pilihan raya.

Tegasnya kesungguhan dan kemampuan kerajaan GPS wajar diambil sebagai panduan sebaik tiba pilihan raya  nanti.

“Pembinaan jambatan dan jalan di laluan pesisir terdapat banyak kampung dan rumah panjang serta pembinaan jalan utama kedua harus dilihat sebagai bukti kesungguhan Kerajaan GPS benarbenar mahu orang luar bandar bersamasama menikmati pembangunan,” katanya.

Suara Sarawak