SARIKEI: Acara berprestij, Jamboree Berbasikal Bukit (MTB) Sebangkoi (Sebangkoi MTB Jamboree) 2026 dijadualkan berlangsung pada 8 November depan.
Hadiah wang tunai RM11,650 keseluruhan tersedia menanti para pemenang dalam enam kategori dipertandingkan.
Pengerusi pertandingan, Saiful Hanizam Suhaini menegaskan, acara julung kali diperkenalkan itu dianjur oleh Kelab Sukan Rekreasi Laser Light (KSRLL) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sarikei.

Ia juga mendapat sokongan Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak dan PERBASA.
Menurut Saiful, perlumbaan sehari itu bermula di Taman Rekreasi Sebangkoi, Sarikei dengan jarak perlumbaan sejauh 30 kilometer.
Tegas Saiful, enam kategori yang dipertandingkan ialah Lelaki Terbuka (18 Tahun & Ke atas), Wanita (13 Tahun & Ke atas), Veteran (40-49 Tahun), Master (50-59 Tahun), Super Master (60 Tahun & Ke atas) dan Remaja (13-17 Tahun).
“Kita menyeru penggiat sukan berbasikal di seluruh Sarawak untuk menyertai perlumbaan itu kelak.
“Sebarang keterangan lanjut boleh berhubung terus dengan Ihsan di talian 013-5512983 dan Zul di talian 016-8001690,” ujar Saiful kepada Arena Suara Sarawak.
Sambil menyatakan tarikh tutup penyertaan pada 31 Oktober ini, Saiful pada masa sama memberitahu, pendaftaran juga boleh dibuat menerusi pautan https://forms.gle/J3iw8tRp5ae5FV4a8.



