SIBU: Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee menyifatkan hari ini hari yang menyedihkan buat Sarawak susulan pemergian mendiang Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing.
Beliau juga menyifatkan mendiang sebagai bapanya dalam politik serta banyak mendorongnya sepanjang pembabitan dalam arena politik.
Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu berpendapat mendiang lebih daripada seorang mentor.
“Saya sangat bersedih atas pemergiannya, mendiang banyak memberi nasihat serta tunjuk ajar kepada saya selama ini.
“Sebenarnya banyak perkara saya belajar daripada mendiang lebih-lebih lagi ketika bersuara dan bercakap di dalam Dewan Undangan Negeri,” ujar beliau ketika ditemui media lewat petang ini.
Dr Annuar mendedahkan bahawa beliau mengagumi watak mendiang yang petah serta bijak bertutur ketika berbahas membuat ucapan penggulungan semasa di Dun.
Menurut Adun Nangka itu, beliau pernah berkomunikasi dengan mendiang sebelum ini berkenaan dengan wabak pandemik Covid-19 dan juga pembangunan masa depan Sarawak.
“Sebelum mendiang sakit, kami pernah bercakap dan beliau pendorong kepada saya untuk menulis buku tentang perjalanan politik saya sendiri.
“Saya memaklumkan kepadanya mahu menulis buku dan dia terus memberikan banyak dorongan kepada saya sehingga hasrat saya itu berjaya,” ujar beliau sambil mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang.




