KUCHING: Pandemik Covid-19 yang melanda dunia memberi pengajaran kepada sesebuah negara betapa pentingnya jaminan bekalan makanan tanpa perlu bergantung kepada makanan import.
Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian, Pembangunan Usahawan Datuk Naroden Majais berkata, ia amat dirasai apabila China dan Vietnam yang dahulunya menjadi pembekal beras utama terpaksa menghentikan pengeksportan beras ke Malaysia.
“Apa akan berlaku sekiranya pembekalan beras dari negara-negara seperti Kemboja, Thailand dan India terputus pada masa akan datang?
“Selain beras, kita masih juga banyak barangan keperluan lain yang bergantung dari negara luar,” katanya pada pelancaran Program Citarasa Malaysia @ Bumi Kenyalang 2020 di Vivacity Megamall Kuching, semalam.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi.
Jelas Naroden, barangan tempatan dari Sarawak mungkin masih sedikit dan belum mencapai tahap standard global.
Namun tambah beliau, walaupun tidak dieksport, sekurangkurangnya ia harus mampu memenuhi keperluan dan permintaan pasaran tempatan.
“Inilah salah satu objektif kempen hari ini dan kita menggalakkan pengusaha tempatan mangambil langkah secara serius bagi mempertingkatkan hasil pengeluaran mereka,” katanya sambil menambah, sekurang-kurangnya mereka sudah mula memikirkan perancangan bagi mencapai matlamat berkenaan.
Naroden memberitahu, walaupun kesan negatif Covid-19 ini masih terasa, beliau berharap agar segala bantuan kerajaan, sama ada daripada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Sarawak digunakan dengan sebaik mungkin oleh 62,000 Pengusahaan Perniagaan termasuk lebih kurang 61,000 Industri Kecil Sederhana (IKS) seluruh Sarawak bagi menghidupkan semula perusahaan mereka.
Beliau juga memgucapkan tahniah kepads KPDNHEP kerana memainkan peranan amat mencabar dalam menghimpunkan semua sektor rantaian pembekalan sehingga ke sektor perdagangan, peruncitan dan sektor-sektor yang lain di seluruh negara.
“Usaha ini menggalakkan pengguna dan pengusaha mempromosi dan menjual barangan buatan tempatan serta barangan di Malaysia.
“Insya-Allah, jika ia berjaya, usaha sebegini akan pasti memberi kesan positif yang besar kepada negara terutamanya mengurangkan kebergantungan kepada barangan luar negara.
“Ini termasuk mengurangkan aliran tunai keluar negara luar serta menjadikan aliran tunai kewangan negara lebih kukuh, menggalakkan pembuatan dan pengeluaran dalam negeri bagi menggalakkan pertumbuhaan IKS tempatan serta pertumbuhan ekonomi negara dan negeri.
“Di samping itu, ia juga menggalakkan perbelanjaan domestik sekali gus meningkatkan kesedaran serta semangat patriotisma dalam kalangan rakyat untuk membantu pengusaha tempatan mempromosikan pelbagai bentuk barangan atau produk mahupun perkhidmatan buatan tempatan,” katanya.
Jelasnya lagi, dasar ini dilaksanakan oleh negara-negara lain untuk melindungi kekuatan barangan tempatan supaya kekal di pasaran tempatan seperti Kesatuan Eropah (EU) yang mempertahankan minyak makan mereka daripada bahan jagung dan sebagainya agar tidak tercemar oleh produk luar seperti minyak sawit dari Malaysia.
“Pada masa sama, peranan gudang besar dan pasar raya besar amat penting sama ada ia dimiliki orang orang tempatan mahupun milik negara asing kerana membantu memacu barangan tempatan ke pasaran tempatan dan pasaran gobal,”katanya.
Naroden juga mengingatkan pengusaha dan usahawan IKS atau mereka yang bekerja persendirian agar melihat senario ini sebagai peluang untuk mempromosi dan menjual secara dalam talian.
“Begitu juga para penghantar yang berperanan menghantar barangan daripada vendor atau penjual kepada para pembeli secara dalam talian,” katanya.