PRASEKOLAH Kementerian Pendidikan (KPM) menerima lebih 120,000 pendaftaran kanak-kanak untuk kemasukan pada tahun depan.
Pendidikan awal ini penting sebagai pendedahan atau latihan awal kanak-kanak agar bersedia memasuki fasa persekolahan.
Sekurang-kurangnya, mereka mampu memberi tumpuan kepada kemahiran komunikasi, pergaulan sosial dan pembelajaran. Malah, ada yang menetapkan sasaran agar mereka mahir membaca, menulis dan mengira (3M).
Prasekolah persendirian atau dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga menjadi pilihan, asalkan menepati kualiti pendidikan.
Prasekolah milik KPM mempunyai tenaga pengajar yang berkelayakan dan terlatih serta prasarana dan kemudahan yang lengkap.
Malah, semua murid akan mendapat faedah Bantuan Makanan Prasekolah (BMP).
Keutamaan diberikan kepada kanak-kanak berusia lima dan empat tahun daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan berada di luar bandar.
MAHIR 3M
Rata-rata sekolah ada menyediakan program pemulihan khas untuk membantu murid yang tidak menguasai 3M.
Namun, ibu bapa juga boleh membantu mempercepat proses penguasaan 3M di rumah agar anak mereka tidak tercicir dalam proses pembelajaran dan pengajaran (PdP).
Kita sendiri tetapkan tiga kemahiran berkenaan sebagai asas kepada perkembangan pembelajaran murid.
Mereka juga boleh hilang keyakinan dan minat dalam pembelajaran sekiranya dilihat ketinggalan berbanding rakan sekelas.
Justeru, persediaan sebelum memasuki fasa persekolahan itu penting agar ibu bapa tahu sekiranya anak-anak mereka memerlukan intervensi awal.
Lebih parah apabila terdapat anak yang belum mahir bertutur membuatkan proses pembelajaran lebih perlahan.
Di Sarawak masih terdapat kanak-kanak berkeperluan khas yang mendaftar terus ke Tahun Satu tanpa pernah mengikuti prasekolah atau program intervensi awal.
Perkara tersebut didedahkan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Pusat Intervensi Awal Kanak-Kanak Sarawak (OSEIC) bagi 2026, baru-baru ini.
Katanya, isu ini perlu diberi perhatian serius terutama berikutan perubahan umur kemasukan ke Tahun Satu yang akan diturunkan kepada enam tahun bermula 2027.
Berdasarkan statistik semasa, seramai 593 kanak-kanak kini mengikuti program intervensi awal di pusat OSEIC di negeri ini.
Daripada jumlah itu, katanya 518 kanak-kanak mengikuti program di OSEIC Kuching, manakala 75 lagi di OSEIC Dalat.
Namun pada masa sama, katanya, seramai 410 kanakkanak masih berada dalam senarai menunggu untuk mendapatkan perkhidmatan intervensi awal di pusat berkenaan.
Data ini menunjukkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan intervensi awal kanak-kanak dan sikap terbuka ibu bapa untuk mendapatkan pertolongan daripada pakar.
Intervensi awal amat penting bagi memastikan kanak-kanak berkeperluan khas mendapat sokongan yang diperlukan sebelum memasuki sistem pendidikan formal.
INISIATIF SARAWAK
Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM1.9 juta bagi melaksanakan program saringan perkembangan digital dan intervensi awal kanak-kanak di negeri ini.
Jelas Fatimah, peruntukan bagi tahun pertama itu diluluskan bagi melaksanakan program di prasekolah SeDidik termasuk membantu peralihan kanakkanak dari Pusat Intervensi Awal Kanak-Kanak Sarawak (OSEIC) ke prasekolah aliran perdana.
Untuk rekod, tidak ada negeri lain yang menyediakan dana seperti ini bagi melaksanakan program tersebut.
Beliau berkata pada masa ini, Kerajaan Sarawak melaksanakan secara rasmi program saringan perkembangan digital dan intervensi di semua prasekolah SeDidik di seluruh Sarawak.
Inisiatif tersebut turut mendapat pengiktirafan antarabangsa dan berjaya menarik sokongan kewangan sebanyak RM389,546 daripada beberapa organisasi termasuk The Nippon Foundation, Walton Family Foundation dan Hong Leong Foundation.
Menurut Pegawai Jurupulih Cara Kerja di OSEIC Kuching, Nur Inezza Ashrina Abing, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan kaunseling bersama-sama ibu bapa pelajar untuk berbincang perkembangan dan sasaran untuk enam bulan.
Katanya, kebanyakan ibu bapa memberikan respons positif apabila mereka mula bercakap dan bermain dengan kawankawan yang lain.
Ini satu perkembangan yang baik sebelum anak tersebut terus meneroka dan belajar perkara baharu.



