SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) melarang orang ramai berniaga di tempat yang tidak dibenarkan sepanjang bulan Ramadhan ini.
Ahli majlisnya Kaunselor Mohammad Iskandar Rosely berkata, ia seperti isu mendirikan rangka kanopi di parkir Sekolah Pendidikan Khas Sibu, Jalan Bandong di sini.

“Pihak Penguatkuasa MPS telah menjalankan tugas dengan mengambil tindakan memasang pita dan pemberian notis pada rangka-rangka kanopi tersebut.
“Ini disebabkan kawasan parkir tersebut (‘interlocking tiles’) telah dibenarkan untuk kenderaan guru-guru dan tempat penurunan dan pengambilan pelajar-pelajar khas (parkir OKU),” katanya di sini, hari ini.
Tegas beliau, di kawasan berkenaan juga terdapat pili bomba yang tidak boleh dihalang dan boleh dikompaun oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia jika adanya halangan.
Katanya, bagi kanopi-kanopi yang diletakkan di simpang jalan juga turut diberi notis kerana ia menyebabkan halangan penglihatan trafik.
“Disebabkan rangka-rangka kanopi itu tidak ada nama pemilik, maka tindakan perlu diambil supaya individu-individu dapat dikenalpasti dan diberi nasihat.
“Jika mengikut prosedur, mereka perlu memohon kepada MPS terlebih dahulu,” ujar beliau.
Bagaimanapun, kata Iskandar, bagi memudahkan keadaan terutama menjelang bulan puasa ini, penjaja dibenarkan berniaga sementara tanpa menghalang trafik kenderaan di tepi Jalan Jasmin atas risiko sendiri dan terhad di perkarangan Dewan MUC serta tidak mendirikan kanopi di depan pagar rumah orang lain sepanjang bulan Ramadhan.
Satu lagi kawasan yang terhad, jelasnya, adalah di depan Surau Darul Islam.
“Diingatkan juga bahawa semua yang berniaga di kawasan tersebut mesti mengekalkan kebersihan sepanjang masa.
“Pihak penguatkuasa kami akan mengambil tindakan jika kawasan persekitaran kanopi didapati kotor,” tegas beliau.
