ARTIKEL

“Jangan dengar cerita dongeng, dana RTP tidak masuk poket Adun”

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Tuduhan bahawa duit Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) masuk poket Adun adalah cerita dongeng kerana ia didapati dalam bentuk waran dari Pejabat Kewangan Negeri sebelum diproses di Pejabat Residen.

Kata Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsmen) Datuk Haji Talib Zulpilip, beliau sendiri ada mendengar dakwaan tidak berasas itu dan berasa kesal dengan tuduhan berkenaan.

“Terdapat individu membuat tuduhan liar mengenai dana RTP yang didakwa masuk ke dalam akaun peribadi atau poket wakil rakyat,” katanya di sini semalam.

Menyelar tuduhan liar tersebut, Adun Jepak itu meminta pihak tidak bertanggungjawab menghentikan isu berkenaan sebaliknya fokus kepada keperluan dan kebajikan rakyat.

Katanya, dana RTP disalurkan terus ke Pejabat Daerah dan agensi pelaksana berkaitan seperti JKR dan
pihak berkuasa tempatan.

“Wakil rakyat hanya menyenaraikan projek, Pejabat Daerah dan agensi pelaksana bertanggungjawab melaksanakan projek,” katanya kepada Suara Sarawak.

Katanya, orang ramai boleh merujuk perkara itu kepada Pejabat Residen daripada mendengar maklumat palsu berhubung penyelenggaraan projek RTP.

Jelas Talib, RTP diperkenal Allahyarham Tok Nan dan diteruskan oleh ketua menteri sedia ada dengan pemantauan rapi Pejabat Ketua Menteri.

“Dana RTP sebanyak RM5 juta setahun bagi setiap Dun adalah dari Kerajaan Sarawak manakala projek PMR di bawah Parlimen dari Kerajaan Persekutuan,” katanya.

“Senarai projek diperoleh berdasarkan permintaan diajukan rakyat atau JKKK kepada Adun, Pusat Khidmat, Pejabat Daerah, PBT dan agensi pelaksana kerajaan berkaitan.

“Jawatankuasa RTP Dun peringkat bahagian akan bermesyuarat bagi menentukan keutamaan setiap projek mengikut Dun masing-masing,” katanya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU