Jangan guna hal peribadi serang musuh politik

KUCHING: Adun Batu Kitang, Lo Khere Chiang meluahkan rasa sedih dengan keadaan politik Malaysia sekarang ini yang menggunakan hal peribadi untuk menjatuhkan mana-mana ahli politik yang lain.

“Saya begitu kecewa dan saya tidak mahu hal peribadi sebegini digunakan sebagai bahan politik.

“Tindakan sedemikian adalah tidak baik dan tidak betul kerana ia boleh merosakkan kepimpinan seseorang pemimpin itu,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam mengulas mengenai video seks sejenis yang melibatkan seorang pemimpin politik di media sosial.

Jelasnya lagi tindakan sedemikian merupakan satu tindakan yang tidak profesional dalam persekitaran politik Malaysia.

“Kita sudah jelas maklum bahawa episod skandal pemimpin politik suatu ketika dahulu yang menggemparkan negara, sehingga kini belum selesai,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau turut menggesa pihak pengurusan hotel agar sentiasa menjaga nama baik dengan tidak meletakkan kamera litar tertutup di dalam bilik hotel.

“Jika difikirkan ia boleh memberikan pandangan negatif kepada para pelancong yang ingin datang ke Malaysia kerana kita tahu jika ada kamera litar tertutup di dalam bilik hotel ia boleh mengganggu ruang peribadi seseorang itu.

“Pihak pengurusan hotel juga perlu sentiasa berwaspada supaya perkara tersebut tidak boleh berlaku lagi,” ujarnya mengulas mengenai hotel yang terlibat merupakan hotel terkemuka di Malaysia.

Politik Malaysia digemparkan dengan tularnya video seks sejenis di media sosial yang dikatakan melibatkan pemimpin politik, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Namun dalam kenyataan media beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut yang disifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Beliau percaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu berhubung tuduhan kejam tersebut.