PERBUATAN mempersenda bentuk tubuh atau fizikal seseorang yang dianggap sebagai gurauan bukan perkara yang baik.
Itu perbuatan yang membawa kepada kehancuran emosi dan keyakinan diri mangsa.
Tidak mengapa.
Ini hanya gurauan.
Rakan saya faham, kami memang suka bergurau seperti ini.
Nah! Ini perkataan atau ayat yang sering dimainkan oleh pelaku yang tidak bertanggungjawab untuk menutup kesalahan yang dia lakukan.
Kita juga memahami perbuatan menghina fizikal seseorang bukan baharu dalam kalangan masyarakat, apatah lagi di sekolah dan media sosial.
Dahulu, jika kita berbadan gempal atau gemuk, sudah pasti menjadi bahan ejekan terutama sekali dalam kalangan rakan sebaya.
Jika diingat kembali, mungkin ramai juga dalam kalangan kita yang menjadi mangsa penghinaan fizikal.
Yang gemuk akan disamakan dengan gajah, paus dan haiwan-haiwan lain yang besar.
Kalau yang hitam pula akan digelar “dayang senandong”.
Dipanggil dengan gelaran sedemikian mungkin tidak mengapa bagi sesetengah orang, tetapi ia menjadi satu masalah apabila rupa dan bentuk fizikal sering dihina sejak kecil.
Ia menjadi tekanan yang serius.
Perkara yang dianggap gurau mungkin boleh menjadi sebab untuk mangsa mengalami depresi seterusnya membunuh diri. Sudah cukup hebat anda mengejek fizikal seseorang?
Tanpa belas kasihan, memalukan mangsa di hadapan orang ramai?
Lebih menyedihkan apabila gambar mangsa diambil tanpa pengetahuan dan dihantar ke kumpulan WhatsApp dan seterusnya menjadi bahan gurauan serta ejekan.
Sudah diajar sejak kecil, menghina bentuk fizikal seseorang seolah-olah menghina ciptaan Tuhan. Tetapi orang yang tiada hati perut, bolehkah berfikiran waras?
Atau hanya menganggap mereka bergurau sepanjang masa?
Allah juga telah berfirman dalam surah At-Tin, yang bermaksud, “Dan sungguh Kami telah menciptakan diri manusia itu pada bentuk yang paling sempurnanya dan paling indah”.
Kita mengetahui setiap yang ada di atas muka bumi ini adalah ciptaan Allah.
Tidak dapat tidak, adalah mustahil bagi kita sebagai hamba, lemah lagi tiada daya untuk menafikan keindahan ciptaan-Nya.
Apa lagi perbuatan menghina fizikal sesama manusia?
Sedar atau tidak, penghinaan bentuk fizikal boleh menyebabkan mangsa mengalami tekanan dan gangguan emosi, hilang keyakinan diri, kecelaruan pemakanan (mungkin ingin kurus segera), kemurungan dan kejadian membunuh diri.
Kini, penghinaan fizikal bukan lagi satu perbuatan yang boleh dipandang enteng oleh masyarakat kerana ia merupakan perbuatan jenayah dan boleh diambil tindakan.
Memetik sumber laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN), body shaming atau perbuatan mengejek fizikal seseorang menjadi antara perkataan tular atau sohor kini di media sosial sejak akhir-akhir ini.
Perbuatan seperti mengutuk, menghina dan mencaci bentuk tubuh seseorang adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan tindakan undangundang.
Undang-undang yang terpakai untuk menangani perlakuan jenayah berkenaan adalah di bawah Seksyen 233(1)(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Menurut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, pelaku boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun atau keduaduanya.
Manakala kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun. Sementara bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil pula, seseorang yang didakwa boleh didenda tidak lebih RM100
. Perkara tersebut dibuktikan lagi menerusi laporan berita nasional iaitu Mahkamah Rayuan pada 12 Oktober lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pempengaruh, Noorazira Pissal atau lebih dikenali sebagai Eira Aziera membayar ganti rugi RM100,000 kepada Pesuruhjaya Sumpah, Suharnizan Md Sidek yang menjadi mangsa body shaming (penghinaan bentuk fizikal) pada Ogos 2020.
Pada 13 Oktober 2020, Suharnizan memfailkan saman lebih RM2 juta terhadap Eira Aziera di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, atas dakwaan menjadi mangsa penghinaan bentuk fizikal oleh pempengaruh media sosial itu.
Perkara tersebut susulan perbuatan mengejek itu berlaku menerusi video yang tular.
Eira telah menghina bentuk fizikal Suharnizan ketika bersiaran langsung di Facebook dengan menyamakannya seperti haiwan.
Rakaman itu tular, sekali gus mengundang pelbagai kecaman warganet di media sosial yang menyelar Eira kerana mulutnya yang biadap.
Sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu mengambil iktibar daripada perkara-perkara seperti ini dan jangan menjadi punca kepada kehancuran hidup seseorang.
Bantu mangsa body shaming ini untuk keluar daripada masalah mereka, sama ada dari segi emosi dan sebagainya. Dengan cara ini, kita mampu mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.



