KUCHING: Malu anak dipanggil Orang Kurang Upaya (OKU) dan tidak dapat menerima hakikat bahawa anak OKU adalah sebab yang mendorong kebanyakan ibu bapa tidak menghantar anak istimewa mereka ke sekolah kerajaan.
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata stigma sedemikian menjadikan kesedaran ibu bapa di negara ini termasuk di Sarawak untuk menghantar anak mereka yang kurang upaya ke Sekolah Pendidikan Khas atau Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif di sekolah-sekolah kerajaan masih begitu rendah.
Katanya tindakan itu bukan sahaja menafikan hak anak-anak OKU daripada mendapat asas manusiawi iaitu pendidikan yang sempurna tetapi juga menjadikan mereka tidak dapat belajar berdikari dan tidak menjalani hidup yang berkualiti.
“Setakat 31 Januari tahun ini, hanya 14 peratus kanak-kanak OKU yang didaftarkan sebagai Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Pendidikan Khas atau PPKI dan Program Pendidikan Inklusif.
“Oleh itu, kita berharap ibu bapa yang mempunyai anak OKU supaya jangan risau, segan dan malu untuk menghantar mereka ke sekolah supaya sekurang-kurangnya mereka dapat dididik untuk berdikari dan belajar,” katanya pada sidang media sempena lawatan ke PPKI dan Program Pendidikan Inklusif di Sekolah Jenis Kebangsaan Bintawa, dekat sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus dan Guru Besar SJK Bintawa Wee Kim Kwang.
Nie Ching menambah dengan menghantar anak OKU ke sekolah, ia juga menjadikan mereka tidak berasa terasing dan pada masa sama mewujudkan perasaan saling memahami serta mengenali antara kanak-kanak normal dengan OKU.
“Ini secara tidak langsung mewujudkan persekitaran yang mesra OKU dalam masyarakat kita,” katanya.
Justeru, katanya bagi melaksanakan dasar ‘Zero Reject Policy’ dan menggalakkan lebih ramai ibu bapa mendaftar anak sebagai MBK, kerajaan persekutuan pada tahun ini telah menyediakan peruntukan sebanyak RM142 juta sebagai elaun khas untuk MBK.
“Setiap anak OKU yang didaftarkan sebagai MBK layak menerima elaun sebanyak RM150 sebulan dan sekiranya jumlah MBK ini bertambah, maka kita tambah peruntukan sedia ada.
“Misalnya tahun lepas sebanyak RM100 juta disediakan dan jumlahnya ditambah kepada RM142 juta tahun ini mengikut pertambahan MBK,” katanya sambil menambah setiap MBK di seluruh negara adalah menerima kadar elaun yang sama iaitu RM150.
Menurut Nie Ching, setakat 31 Januari tahun ini, terdapat seramai 83,039 orang MBK didaftarkan di seluruh negara.
Manakala di Sarawak, katanya terdapat seramai 5,804 orang MBK dengan 147 orang di Sekolah Pendidikan Khas, 4,432 orang di PPKI dan 590 orang di Program Pendidikan Inklusif.
