SEPETANG minggu lalu, saya dan kawan memandu sambil melimpas pejabat lama kami termasuk kedai foto tempat yang meninggalkan cerita tentang kami mula-mula menjadi wartawan kadet.
Kami berkongsi pengalaman waktu itu sebaik selesai liputan di luar, kami akan ke kedai gambar bersama-sama jurufoto untuk mencuci filem menjadi gambar.
Istilah sebenar mungkin berbeza tetapi itulah yang kami sebut dan faham ketika itu.
Dan, kami menyebut filem itu sebagai kodak walaupun sebenarnya tidak kerana nama Kodak milik syarikat fotografi terkenal dunia.
Sama seperti jenama ubat gigi Colgate, sebahagian besar kita memanggilnya Colgate untuk merujuk kepada ubat gigi waima mengguna jenama lain.
Bagi yang mungkin lupa terutamanya orang media, Kodak pernah menjadi antara nama terbesar dalam industri fotografi dunia.
Syarikat ini menjadi simbol kepada fotografi itu sendiri.
Lebih menarik, kamera digital pertama sebenarnya dicipta oleh jurutera Kodak sendiri pada 1975.
Ia bukan teknologi luar, bukan pesaing tetapi inovasi yang lahir dari dalam syarikat itu sendiri.
Namun begitu, idea tersebut tidak diberi ruang untuk berkembang sepenuhnya.
Itu menurut yang saya baca sebelum ini dan saya ceritakan kembali kepada kawan di sebelah saya.
Pada ketika itu, pengurusan melihatnya sebagai ancaman kepada perniagaan utama mereka filem fotografi.
Filem pula ketika itu sangat menguntungkan, stabil dan sudah menjadi asas kepada keseluruhan model perniagaan syarikat.
Untuk menerima kamera digital, bermakna mereka perlu mengubah struktur yang sudah lama memberi hasil.
Akhirnya, keputusan yang diambil bukanlah untuk melangkah ke hadapan tetapi untuk berhatihati.
Inovasi tersebut tidak diketengahkan sebagai masa depan sebaliknya dianggap sebagai sesuatu yang boleh mengganggu perniagaan sedia ada.
Maka ia diletakkan di tepi, ditangguhkan atau tidak diberi keutamaan.
Waktu itu pada zaman Kodak itu, kamera kami merakam berita masih menggunakan filem.
Tiada skrin untuk melihat hasil serta-merta.
Apa-apa yang dirakam hanya boleh diketahui selepas filem dihantar untuk diproses.
Jadi setiap kali selesai tugasan luar, kami akan ke kedai gambar dan menyerahkan gulungan filem kepada kakitangan di situ.
Dari situ bermulalah proses menunggu.
Kami akan duduk di kedai atau di kawasan berhampiran, kadang-kadang di bangunan sebelah yang ada restoran makanan segera.
Tidak banyak pilihan, jadi kami sering singgah makan di KFC sambil menunggu.
Ada hari yang cepat, ada hari yang lambat.
Semuanya bergantung kepada keadaan.
Jika hari itu ramai jurugambar atau wartawan lain menghantar filem pada masa yang sama, giliran kami akan meleret lebih panjang.
Menunggu ketika itu bukan sesuatu yang luar biasa.
Ia sebahagian daripada rutin kerja.
Kami tidak merungut kerana memang itulah sistemnya.
Tetapi dalam diam, pengalaman itu mengajar satu perkara kecil yang kemudian menjadi lebih besar maknanya kerana masa yang perlahan itu sebenarnya ada kosnya.
Wartawan zaman kami tidak hidup dalam dunia segera seperti hari ini.
Gambar tidak boleh dihantar melalui telefon atau e-mel.
Tiada istilah muat naik, tiada istilah hantar dalam talian.
Kalau mahu visual, perlu tunggu filem siap diproses, kemudian barulah gambar boleh digunakan untuk laporan.
Kalau lambat siap, lambatlah berita itu lengkap dengan visual.
Kini semuanya sudah berubah.
Gambar boleh diambil dan dihantar dalam beberapa saat sahaja.
Apa-apa yang dulu mengambil masa berjam-jam, sekarang berlaku hampir serta-merta.
Tetapi pengalaman menunggu filem itu kekal sebagai satu ingatan tentang satu perkara penting kerana tidak semua sistem lama sesuai dengan dunia yang bergerak pantas.
Zaman itu ketua kami yang berhidung mancung, lelaki ini yang mahu semua perkara perlu diproses.
Berita kami tidak akan diproses tanpa adanya gambar.
Semuanya perlu melalui proses yang panjang.
Sejak itu, saya belajar semua perkara perlu diproses dahulu sebelum keputusan dibuat.
Semua isu perlu ditapis melalui beberapa lapisan.
Semua tindakan perlu menunggu persetujuan berulang kali.
Kini baru saya perasan selepas mengetuai balai berita bahawa keputusan yang sepatutnya boleh dibuat hari ini menjadi sesuatu yang hanya dibincangkan minggu depan, atau bulan depan.
Itu tidak betul sebenarnya.
Saya mengambil contoh jika kami menghantar tajuk untuk rencana, jawapannya hampir sama — perlu berhati-hati, perlu kaji dulu, perlu tunggu.
Pada zahirnya, ia nampak matang dan berhemah.
Tetapi jika terlalu kerap digunakan, ia sebenarnya menjadi cara paling selamat untuk tidak membuat keputusan langsung.
Masalahnya, dunia tidak lagi bergerak seperti kedai gambar yang perlahan itu.
Ia sudah berubah menjadi sesuatu yang lebih pantas, lebih agresif dan kurang sabar.
Dalam dunia seperti ini, kelewatan bukan sekadar kelewatan, ia boleh menjadi kehilangan peluang.
Pada masa itu, perjalanan kerjaya kami agak perlahan.
Jika hendak membuat rencana khas, perlu draf soalan dan menunggu soalan untuk dilulus satu penantian panjang.
Dulu, saya mungkin manusia sabar tetapi kini saya jelek dengan sikap menunggu keputusan berhari-hari hanya untuk satu perkara yang sepatut selesai setengah hari.
Sama ada darpada ketua besar kepada ketua kecil, daripada ketua kepada ketua atau kepada kakitangan bawahan, keputusan mesti cepat selain berani.
Jangan ambil jalan selamat, menunggu kata putus atau meminta orang lain membuat keputusan.
Ketua yang tidak berani membuat keputusan bukan ketua, ketua yang tidak mahu terlibat dalam sebarang keputusan syarikat atau sentiasa mencari alasan untuk tidak terlibat dalam apa-apa keputusan syarikat, juga bukan ketua.
Jika lelaki, dia boleh digelar lemah, jika perempuan dia boleh dianggap tiada daya kepimpinan.
Dunia di luar bergerak tanpa menunggu.
Teknologi digital berkembang dengan cepat dan pesaing mula mengambil ruang yang ditinggalkan.
Pengguna juga berubah daripada filem kepada digital, daripada menunggu kepada segera.
Apabila perubahan itu menjadi terlalu besar untuk diabaikan, kita akan sama seperti Kodak yang sudah berada di belakang.
Mereka masih cuba menyesuaikan diri tetapi ketika itu jurang sudah terlalu jauh.
Apa yang pernah menjadi kekuatan mereka, kini menjadi beban yang sukar dilepaskan.
Dan, pada 2012, Kodak akhirnya memfailkan kebankrapan selepas gagal menyesuaikan diri sepenuhnya dengan era digital.
Selepas itu, syarikat tersebut melalui proses penstrukturan semula dan beralih fokus kepada teknologi kimia industri serta bahan untuk kesihatan meninggalkan perniagaan fotografi pengguna yang pernah menjadi identiti utama mereka.
Kisah Kodak ini bukan sekadar kisah sebuah syarikat besar yang jatuh.
Ia gambaran tentang bagaimana keputusan untuk menunggu dahulu boleh menjadi keputusan yang paling mahal dalam jangka panjang.
Kadangkadang, bukan kesilapan yang menjatuhkan organisasi tetapi kelewatan yang berpanjangan sehingga peluang itu tidak lagi wujud.
Jika kembali kepada pengalaman di kedai gambar dahulu, menunggu filem siap bukan satu masalah kerana semua orang berada dalam sistem yang sama.
Tetapi dalam dunia hari ini, tidak semua orang menunggu dan suka menunggu.
Ada yang sudah bergerak lebih awal, lebih cepat, dan lebih berani mencuba.
Dalam kepimpinan, situasinya sama.
Menunggu kadangkadang perlu, tetapi menunggu tanpa keputusan boleh menjadi kebiasaan yang memudaratkan.
Ketua yang terlalu lama berada dalam fasa tunggu dan lihat akhirnya bukan sahaja ketinggalan tetapi juga menyebabkan kita terperangkap dalam kelewatan yang sama.
Akhirnya kepimpinan bukan soal siapa yang paling berhati-hati tetapi siapa yang cukup berani untuk membuat keputusan pada masa yang betul.
Kerana dalam dunia yang tidak lagi menunggu, kelewatan kecil boleh menjadi jurang yang besar.
Dan, seperti pengalaman kami di kedai gambar dahulu, menunggu itu mungkin normal tetapi dalam dunia hari ini, terlalu lama menunggu boleh membuat kita hanya sempat melihat hasil, bukan lagi arah masa depan.



