KUCHING: Orang ramai terutamanya di Kuching dinasihatkan tidak melakukan rentas daerah bagi membantu mengawal penularan wabak Covid-19.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ia susulan empat hari berturut-turut Kuching merekodkan lima kes baharu positif Covid-19.
“Jangan pulang ke rumah panjang dulu atau ke daerah lain sehingga semua kes positif di Kuching dapat dikesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pertauliahan Pegawai Bimba Bantuan di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak di Jalan Setia Raja, semalam.
Bagaimanapun, setakat ini masih tiada larangan bagi mereka untuk melakukan rentas daerah di negeri ini.
Tambah Kui Hian, kita masih memerlukan semua rakyat berada dalam keadaan selamat dan jangan keluar tanpa tujuan.
“Kita kena pastikan Sarawak tiada gelombang kedua dan rakyat perlu akur seperti yang kita lakukan pada Mac dan April sehingga lengkung kes Covid-19 menurun,” tegasnya.
Kui Hian turut menggalakkan penduduk di sekitar Kuching yang mempunyai kontak dengan kes positif tersebut untuk segera menjalani ujian saringan bagi memudahkan pengesanan wabak tersebut.
“Setiap rakyat perlu mempunyai aplikasi MySejahtera atau CovidTrace untuk memudahkan pengesanan dilakukan.
“Jangan tunggu untuk dihubungi kerana ini adalah untuk kebaikan anda sendiri,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan agar orang ramai sentiasa mendapatkan rawatan awal, mengamalkan penjarakan sosial, kelaziman baharu, pelitup muka kerana virus tersebut masih ada.
“Ia penting untuk dipraktikkan demi keselamatan diri sendiri, ahli keluarga dan orang lain,” jelasnya lagi.