Jangan sentuh GPS – Abg Jo

KUCHING: “Anda sentuh satu, anda menyentuh semuanya.” Ini ditegaskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai prinsip Gabungan Parti Sarawak (GPS) tanpa akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menggugat hala tujunya ke arah mensejahterakan Sarawak.

Kenyataan Abang Johari yang juga pengerusi GPS mungkin tidak asing lagi ditujukan kepada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dianggapnya sebagai anai-anai di dalam GPS sebelum ini.

Malah seperti didedahkan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing, tindakan drastik juga telah dikenakan ke atas PSB dengan memotong peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Kecil Transformasi Luar Bandar (MRTP) untuk semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu.

“Oleh itu sangat penting untuk kita dalam GPS bekerjasama. Kita mempunyai instrumen sendiri untuk memimpin hala tuju dan arah itu mesti jelas, di mana kita berharap dapat mencapai destinasi dengan kejayaan,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Rumah Terbuka Gawai Dayak dan Ngiling Bidai 2019 anjuran PRS di Dewan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini, hari ini.

Menurut beliau, kabinet GPS telah merangka pelbagai program khususnya untuk kawasan luar bandar dan memperuntukkan belanjawan yang besar untuknya demi memberikan kehidupan yang selesa kepada rakyat di luar bandar.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa kami (GPS) bekerja bersama dan akan melaksanakan apa yang diharapkan oleh rakyat.

“Kami telah menubuhkan agensi-agensi baharu terutamanya Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) yang kami harap dapat mempercepatkan infrastruktur pembangunan di luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan dalam ucapannya menegaskan prinsip GPS itu mesti dipertahankan dengan berpegang kepada matlamat ‘mengutamakan Sarawak’.

Beliau yang juga presiden PRS berkata kesilapan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu tidak boleh diulang dan GPS sebagai barisan baharu dalam mempertahankan Sarawak harus kukuh tanpa mudah terpengaruh dengan kehadiran mana-mana pihak.

“Sekiranya kita berada dalam satu minda dan satu hati, tiada apa yang mustahil.

“Tiada tugas sukar yang kita tidak dapat atasi, dengan syarat kita mempunyai satu peraturan iaitu bermula, maju dan berjaya bersama-sama,” katanya.