ARTIKEL

Noriha bergambar bersama peserta Program Kesatuan Hebat Motivasi Pekerja Cemerlang anjuran Kesatuan Kakitangan Sokongan UPM Kampus Bintulu Sarawak (KEPEKASA) di sebuah hotel di Bintulu pada Sabtu.

‘Jangan sesekali menganggap tugas kita kecil’ – Iskandar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Komitmen dan dedikasi kakitangan sokongan antara pemangkin kecemerlangan institut pengajian tinggi (IPT) khususnya dalam memastikan kelancaran operasi, keberkesanan pentadbiran dan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata sumbangan kakitangan sokongan perlu dihargai kerana mereka memainkan peranan penting dalam menyokong operasi universiti, meskipun sebahagian besar tugas mereka dilaksanakan di belakang tabir.

Beliau berkata, kejayaan sesebuah IPT atau universiti bukan sahaja diukur melalui kecemerlangan akademik pensyarah dan pencapaian pelajar, malah turut bergantung pada komitmen serta kecekapan seluruh warga kerja.

“Setiap tugas yang dilaksanakan mempunyai nilai dan kepentingannya tersendiri. Jangan sesekali menganggap tugas kita kecil kerana sumbangan yang dilakukan dengan penuh tanggungjawab mampu memberikan impak besar kepada organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.67 Jepak, Noriha Ali pada Program Kesatuan Hebat Motivasi Pekerja Cemerlang anjuran Kesatuan Kakitangan Sokongan UPM Kampus Bintulu Sarawak (KEPEKASA) di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Presiden KEPEKASA, Rodzlan Kasan, menyampaikan cenderamata kepada Noriha.

Iskandar berkata, program seumpama itu penting untuk meningkatkan motivasi pekerja, memperkukuh semangat kerja berpasukan dan membentuk budaya kerja positif dalam kalangan kakitangan sokongan Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu, Sarawak.

Beliau turut mengingatkan kakitangan supaya sentiasa mengamalkan disiplin, integriti dan profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab, selain melihat cabaran sebagai peluang untuk menimba pengalaman serta meningkatkan keupayaan diri.

Menurutnya, teguran perlu diterima secara terbuka sebagai peluang untuk mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan, manakala setiap kejayaan harus dijadikan dorongan untuk meningkatkan prestasi kerja secara berterusan.

Beliau juga menegaskan bahawa hubungan baik sesama kakitangan perlu dipelihara bagi mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni, positif dan produktif.

“Apabila kita saling menghormati, membantu dan menyokong antara satu sama lain, suasana kerja akan menjadi lebih harmoni dan produktif.

“Kejayaan sesebuah organisasi bukan hasil usaha seorang individu sahaja, tetapi hasil komitmen dan kerjasama seluruh pasukan yang bergerak ke arah matlamat yang sama,” katanya.

Beliau berharap KEPEKASA terus memainkan peranan sebagai platform untuk menyatukan ahli, memperjuangkan kebajikan serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan kakitangan sokongan UPM Kampus Bintulu.

Katanya, usaha berterusan untuk meningkatkan motivasi dan mengembangkan potensi pekerja penting bagi membentuk warga kerja yang berkualiti, berdaya saing serta komited terhadap kecemerlangan organisasi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas inisiatif menganjurkan program berkenaan dan berharap ia dapat menyuntik semangat baharu kepada peserta untuk terus mempertingkat motivasi serta prestasi dalam melaksanakan tugas masing-masing.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU