ARTIKEL

Nancy ketika ditemui pemberita selepas Program EmpowerUS 2026: Memperkasa Pemimpin: Kepimpinan Mampan, Berdaya Tahan dan Beretika di Kuching, hari ini. Foto: Alif Noni

Jerebu: Taska belum diarah tutup, ibu bapa tentukan hantar anak atau tidak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tiada arahan dikeluarkan setakat ini untuk menutup pusat asuhan kanak-kanak (Taska) berikutan keadaan jerebu di Semenanjung, namun semua aktiviti luar membabitkan kanak-kanak perlu dihentikan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, kebanyakan aktiviti taska dilaksanakan di dalam premis. Justeru, keputusan menghantar anak diserahkan kepada pertimbangan ibu bapa berdasarkan keadaan semasa.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengendali taska perlu mengambil kira arahan pihak berkuasa sekiranya sesebuah negeri memutuskan institusi pendidikan ditutup akibat kemerosotan kualiti udara.

“Setakat ini, kita belum mengeluarkan arahan untuk menutup taska kerana kita tidak mahu mengganggu urusan ibu bapa.

“Namun, bagi yang masih beroperasi ketika jerebu, saya mencadangkan supaya tiada aktiviti luar dilakukan. Kanak-kanak perlu berada di dalam premis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program EmpowerUS 2026: Memperkasa Pemimpin: Kepimpinan Mampan, Berdaya Tahan dan Beretika di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kementerian memahami sesetengah ibu bapa tidak mempunyai pilihan untuk meninggalkan anak di rumah kerana perlu bekerja, lalu masih bergantung kepada perkhidmatan taska.

“Kita serahkan kepada ibu bapa untuk membuat keputusan sama ada mahu menghantar anak atau tidak.

“Kita faham ada ibu bapa yang tidak boleh meninggalkan anak begitu sahaja di rumah kerana tiada sesiapa menjaganya. Jadi, mungkin mereka boleh berbincang dengan majikan atau pihak taska mengenai perkara ini,” ujarnya.

Menurutnya, keputusan berkaitan penutupan sekolah dibuat melalui mekanisme dan jawatankuasa berkaitan di setiap negeri berdasarkan keadaan setempat.

Pada masa sama, beliau menegaskan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak perlu menjadi keutamaan sepanjang tempoh jerebu, termasuk memastikan mereka tidak terdedah kepada aktiviti di luar bangunan.

“Nasihat kita jelas, jangan bawa kanak-kanak keluar dan jangan adakan aktiviti luar. Biarkan mereka berada di dalam premis.

“Sekiranya ada kanak-kanak yang tidak sihat, bawalah mereka mendapatkan pemeriksaan doktor,” katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) pada 16 Oktober menetapkan semua institusi pendidikan termasuk sekolah dan taska hendaklah ditutup sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 200, manakala aktiviti luar perlu dihentikan apabila IPU berada antara 101 hingga 200.

Pada 14 Oktober lalu, semua sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup, selain sekolah di beberapa daerah di Selangor dan Pahang selepas kualiti udara merosot. Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU