KUCHING: Tarikh 12 atau 19 Disember yang disebut-sebut sebagai kemungkinan hari pengundian mungkin tepat, namun keputusan sebenar bergantung pada masa pembubaran DUN oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dijangka berlangsung pada Disember ini susulan tempoh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang semakin singkat.
“Jika dilihat berdasarkan kebiasaan, pilihan raya lazimnya diadakan pada hujung minggu dan tarikh 12 dan 19 Disember masing-masing jatuh pada hujung minggu, namun perkara itu masih belum dapat dipastikan.
“Saya berpandangan tempoh untuk pembubaran semakin singkat dan mungkin berlaku dalam tempoh dua minggu selepas persidangan DUN berakhir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Pertandingan Menulis DayakDaily dan pelancaran buku Sarawak Folklore Book I di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, Premier mempunyai kuasa menentukan masa pembubaran DUN, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu diberikan masa untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian.
“Jika pembubaran dilakukan pada penghujung bulan ini atau November, pilihan raya tetap berkemungkinan berlangsung pada Disember.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu mengambil kira beberapa faktor sebelum menetapkan tarikh pilihan raya. Januari dan Februari dilihat kurang sesuai kerana terdapat sambutan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan,” ujarnya.
Abdul Karim berkata, memandangkan ruang masa semakin suntuk, beliau melihat masa yang sesuai ialah November dan pertengahan Disember.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tarikh sebenar pilihan raya masih belum diputuskan dan segala-galanya bergantung pada keputusan Premier berhubung pembubaran DUN.
Beliau turut menjelaskan, jika DUN terbubar secara automatik selepas tamat tempoh penggalnya, SPR mempunyai masa 60 hari untuk mengadakan pilihan raya.
Namun, katanya, kebiasaannya ketua kerajaan negeri menentukan sendiri masa pembubaran bagi memastikan keadaan sesuai untuk pilihan raya diadakan.

