KUCHING: Sekurang-kurangnya 10 hingga 30 peratus calon baharu, termasuk golongan wanita dan pemimpin muda, dijangka menjadi pertimbangan dalam pemilihan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perubahan calon ialah perkara biasa dalam setiap pilihan raya bagi memastikan kesinambungan kepimpinan parti.
“Parti lazimnya perlu membuat pertukaran calon dan tidak semestinya mengekalkan semua wakil rakyat sedia ada.
“Dalam setiap pilihan raya, mesti ada sejumlah calon yang digugurkan atau diganti dan jika tiada perubahan, ia tidak akan kelihatan baik untuk GPS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Menulis DayakDaily serta pelancaran buku Sarawak Folklore Book I di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, pemilihan calon baharu turut perlu mengambil kira penyertaan wanita dan golongan muda dalam barisan kepimpinan.
Katanya, terdapat pemahaman bahawa perwakilan wanita dan golongan muda perlu diberi perhatian dalam proses pemilihan calon.
“Dalam lingkungan 10 hingga 30 peratus calon baharu itu, perkara seperti penyertaan wanita dan golongan muda perlu diambil kira.
“Semua ini tentunya sudah menjadi pertimbangan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai Pengerusi GPS,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, keputusan akhir mengenai calon yang akan diketengahkan pada PRN terletak pada Premier Sarawak dan kepimpinan parti.
Abdul Karim berkata, pertukaran calon juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang parti, bukan hanya untuk memenuhi keperluan pilihan raya semasa.
“Wakil rakyat yang telah lama berkhidmat mungkin perlu memberi laluan kepada pemimpin baharu bagi memastikan kesinambungan kepimpinan.
“Wakil rakyat yang tidak dicalonkan semula dapat menerima keputusan parti dan terus memberikan sokongan kepada calon pengganti.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, wanita mempunyai kemampuan untuk memegang jawatan kepimpinan berdasarkan prestasi mereka dalam pelbagai bidang.
“Saya mempunyai ramai wanita dalam kementerian dan saya dapat melihat mereka menjalankan tugas dengan baik.
“Jika diberikan peranan sebagai pemimpin negeri, mereka juga mampu menunjukkan prestasi yang baik,” katanya.



