ARTIKEL

Semua 82 kerusi DUN penting, GPS tidak boleh mengambil mudah – Abdul Karim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak perlu dianggap penting oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS), tanpa mengira kekuatan sokongan di sesuatu kawasan.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, GPS tidak boleh mengambil mudah mana-mana kerusi atau menganggap kemenangan sudah terjamin kerana keputusan akhir tetap bergantung kepada pilihan pengundi.

“Setiap kerusi penting. Kita tidak boleh mengambil mudah walaupun ada pihak mengatakan calon GPS boleh menang dengan mudah di kawasan tertentu.

“Kita perlu menghormati pengundi dan pandangan mereka kerana mereka berhak mendapat wakil rakyat yang terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Menulis DayakDaily dan pelancaran buku Sarawak Folklore Book I di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mengulas kemungkinan terdapat kerusi yang dimenangi tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Abdul Karim berpandangan pertandingan sebenarnya memberi ruang untuk menilai tahap sokongan pengundi terhadap seseorang calon.

Katanya, kemenangan tanpa bertanding tidak semestinya memberikan gambaran jelas mengenai kekuatan sokongan rakyat terhadap calon berkenaan.

“Menang tanpa bertanding agak sukar dijangka. Sebenarnya, pertandingan juga bagus kerana jika tiada pertandingan, kita tidak akan tahu sejauh mana sokongan yang diterima seseorang calon,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pertandingan politik perlu berlangsung secara berhemah dan dalam suasana yang baik.

Menurutnya, setiap parti perlu menghormati proses demokrasi dan tidak menganggap mana-mana kawasan sebagai kerusi yang sudah pasti dimenangi.

Abdul Karim berkata, GPS juga perlu mengambil kira isu di peringkat akar umbi, termasuk prestasi wakil rakyat sedia ada dalam menjalankan tanggungjawab kepada penduduk.

“Terdapat kemungkinan sesetengah wakil rakyat digantikan dalam pilihan raya akan datang sebagai sebahagian daripada perancangan parti untuk memastikan kesinambungan kepimpinan.

“Penggantian calon juga perlu dilihat sebagai proses biasa dalam politik bagi memberi ruang kepada pemimpin baharu meneruskan khidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap wakil rakyat yang tidak lagi dicalonkan dapat menerima keputusan parti dan terus menyokong calon pengganti.

Katanya, kesinambungan kepimpinan penting supaya pembangunan kawasan dapat diteruskan tanpa bergantung kepada seorang individu sahaja.

Abdul Karim berkata, pendekatan itu perlu diterapkan di semua kawasan kerana setiap kerusi mempunyai kepentingan tersendiri dalam menentukan hala tuju pentadbiran negeri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Atlet muda Muay Thai Sarawak berpotensi besar

BINTULU: Presiden Persatuan Muay Thai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim kagum dengan prestasi yang dipamerkan atlet muda yang bersaing dalam Kejohan Muay Thai Piala Premier