KUCHING: Kemenangan 100 peratus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak bermakna mekanisme semak dan imbang akan lenyap dalam pentadbiran Sarawak.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mekanisme berkenaan tetap boleh dilaksanakan walaupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Di sini kita ada unit ombudsman dan pelbagai cara untuk memastikan pentadbiran berjalan dengan baik.
“Walaupun kita menang 100 peratus, wakil rakyat di bangku kerajaan boleh bertindak sebagai kumpulan pendesak seperti pembangkang bagi memastikan pentadbiran berjalan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Menulis DayakDaily dan pelancaran buku Sarawak Folklore Book I di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mengulas peluang GPS memenangi semua kerusi pada PRN akan datang, Abdul Karim berkata keputusan akhir tetap terletak di tangan rakyat.
“Berdasarkan Belanjawan Sarawak dan situasi semasa, masyarakat negeri ini berada dalam keadaan yang sangat bersatu, merangkumi kaum Melayu, Cina, Dayak dan kaum lain.
“Namun, secara keseluruhannya, pentadbiran Sarawak dari segi kewangan dan pengurusan negeri berada pada tahap yang sangat baik dan diiktiraf bukan sahaja oleh kita sendiri, malah oleh agensi penarafan dan pemimpin dari luar negara,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata ramai pemimpin luar datang ke Sarawak untuk menjalin hubungan dan meneroka peluang kerjasama, justeru keyakinan sedemikian juga perlu diambil kira oleh pengundi tempatan.
“Jika pihak luar dapat melihat dan mengiktiraf kualiti pentadbiran negeri ini, maka saya berharap rakyat juga akan memberikan sokongan dan undi kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.
Beliau berkata, tanggungjawab memastikan pentadbiran berjalan dengan baik perlu dipikul oleh semua wakil rakyat tanpa mengira jumlah kerusi yang dimenangi GPS dalam pilihan raya akan datang.
Pada PRN lalu, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN Sarawak dan jumlah itu kemudian meningkat kepada 80 kerusi susulan perkembangan politik selepas Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyertai gabungan berkenaan melalui parti komponennya.


