ARTIKEL

Ketua Penerangan Parti Pesaka Buniputera Bersatu, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah. Foto Ramidi Subari

Kerusi bertindih GPS diserah kepada kepimpinan tertinggi – Abdul Karim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Rundingan berkaitan kerusi bertindih antara parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang akan diserahkan kepada kepimpinan tertinggi gabungan itu.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Buniputera Bersatu, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kepimpinan tertinggi GPS mempunyai pengalaman menguruskan isu itu yang timbul dalam kalangan parti komponennya.

“Terdapat beberapa kawasan yang menyaksikan perubahan parti yang diwakili wakil rakyat, sekali gus memerlukan perbincangan bagi menentukan pembahagian kerusi pada pilihan raya akan datang.

“Perkara itu akan dibincangkan oleh kepimpinan tertinggi GPS dan presiden parti masing-masing. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan kerana kita sudah melalui perkara ini selama bertahun-tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Menulis DayakDaily dan pelancaran buku Sarawak Folklore Book I di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata terdapat kawasan yang sebelum ini diwakili Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), tetapi kemudiannya dimenangi Parti Demokratik Progresif (PDP).

Selain itu, katanya, terdapat juga kawasan yang dahulunya di bawah PDP, tetapi kini diwakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Beliau berkata, situasi sama turut melibatkan kawasan yang sebelum ini diwakili SUPP, tetapi kini mempunyai wakil rakyat daripada PBB.

Bagaimanapun, Abdul Karim menegaskan bahawa perkara paling penting dalam menentukan calon bukan semata-mata parti atau lambang yang diwakili, sebaliknya keupayaan seseorang wakil rakyat untuk berkhidmat kepada penduduk.

“Pada akhirnya, perkara yang lebih penting bukan parti atau lambang. Kita mahu wakil rakyat yang baik, tidak kira sama ada mereka mewakili PBB, SUPP, PDP atau Parti Rakyat Sarawak (PRS),” katanya.

Menurutnya, pemilihan calon perlu mengambil kira kepentingan rakyat supaya setiap kawasan mempunyai wakil rakyat yang mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU