ARTIKEL

Nancy merakam kenangan bersama peserta Program EmpowerUS 2026: Memperkasa Pemimpin: Kepimpinan Mampan, Berdaya Tahan dan Beretika di Kuching, hari ini. Foto: MOHD ALIF NONI

Kes keganasan rumah tangga meningkat, wanita perlu tahu hak – Nancy

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 5,278 kes keganasan rumah tangga direkodkan sepanjang tahun ini, menunjukkan trend peningkatan. Keadaan itu mendorong kerajaan memperkukuh kaunseling, pemerkasaan wanita serta kesedaran mengenai hak dan perlindungan undang-undang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Hajah Nancy Shukri berkata, antara tumpuan kementeriannya ialah memastikan wanita mengetahui hak masing-masing selain mempunyai keupayaan berdikari dari segi ekonomi dan kewangan.

“Kes keganasan rumah tangga lebih 5,000 secara keseluruhan tahun ini dan jumlahnya semakin meningkat.

“Sebab itu kita menggalakkan lebih banyak kaunseling dan pemerkasaan wanita, khususnya supaya mereka mengetahui undang-undang serta memahami hak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program EmpowerUS 2026: Memperkasa Pemimpin: Kepimpinan Mampan, Berdaya Tahan dan Beretika di sini, hari ini.

Tambahnya, usaha menangani keganasan rumah tangga memerlukan peningkatan kesedaran, akses kepada kaunseling, pengetahuan mengenai hak serta pemerkasaan ekonomi supaya mangsa mempunyai lebih banyak pilihan untuk keluar daripada situasi penderaan.

Menurutnya, kebebasan kewangan turut menjadi aspek penting dalam memperkasakan wanita kerana ia dapat meningkatkan keyakinan serta keupayaan membuat keputusan ketika berdepan situasi penderaan.

“Pada masa sama, kita mahu mereka berdikari dari segi ekonomi dan kewangan supaya mereka lebih yakin dengan diri sendiri dan tidak mudah membiarkan diri terus diperlakukan secara kasar,” ujarnya.

Mengenai Talian Kasih, beliau berkata, sebanyak 104,784 panggilan diterima setakat Oktober tahun ini, melebihi jumlah keseluruhan 98,050 panggilan sepanjang tahun lalu.

Jelasnya, peningkatan itu tidak semestinya menunjukkan pertambahan kes penderaan semata-mata kerana talian tersebut turut menerima aduan dan permohonan bantuan berkaitan pelbagai masalah keluarga dan sosial.

“Panggilan semakin meningkat kerana masyarakat semakin mengetahui dan memahami penggunaan Talian Kasih serta bentuk bantuan yang boleh diperoleh.

“Malah, bukan orang dewasa sahaja yang tahu menggunakan saluran ini, kanak-kanak juga tahu apa yang perlu dilakukan apabila mereka memerlukan bantuan,” katanya.

Sementara itu, mengulas kes seorang pegawai kastam wanita yang dibunuh suaminya baru-baru ini, beliau berkata, kementeriannya sedang meneliti bentuk bantuan yang boleh diberikan dengan tumpuan ketika ini diberikan kepada anak-anak serta keluarga mangsa.

Katanya, pendekatan terhadap keluarga perlu dilaksanakan secara berhati-hati kerana mereka masih melalui tempoh kehilangan dan memerlukan ruang untuk berkabung.

“Biasanya apabila seseorang berdepan keadaan seperti ini, mereka memerlukan sedikit masa dan tidak mahu bercakap dengan sesiapa. Berikan mereka ruang untuk berkabung terlebih dahulu, tetapi kita sentiasa bersedia melihat keperluan keluarga berkenaan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU