ARTIKEL

Jangan sia-siakan peluang pendidikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Pelajar di kawasan Parlimen Tanjong Manis digesa memanfaatkan pelbagai peluang dan sokongan yang disediakan bagi membantu mereka membina masa depan lebih cerah menerusi pendidikan.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab, berkata hampir RM1 juta diperuntukkan dalam bentuk insentif kepada pelajar cemerlang sebagai galakan untuk mereka terus meningkatkan pencapaian akademik.

Katanya, seramai 121 pelajar dari Sarikei antara penerima insentif berkenaan susulan prestasi membanggakan dalam bidang pendidikan.

“Saya yakin setiap pelajar di kawasan Parlimen ini mempunyai potensi masing-masing yang perlu digilap. Justeru, belajarlah dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

“Sehubungan itu, saya juga berharap pelajar memanfaatkan bantuan dan kemudahan yang diberikan dengan sebaik-baiknya serta terus berusaha mencapai kejayaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Mansang Anak Sarawak Zon Sarikei 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei Baru, hari ini.

Yusuf berkata, pengisian program turut memberi pendedahan kepada peserta berkaitan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain membantu mereka merancang laluan pendidikan serta kerjaya selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pendedahan itu penting bagi membantu pelajar mengenal pasti minat, kebolehan dan hala tuju masing-masing dalam menghadapi cabaran pendidikan serta dunia pekerjaan pada masa depan.

Beliau berkata, pembangunan golongan muda tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pencapaian akademik, sebaliknya perlu turut merangkumi kemahiran, pengalaman serta peluang untuk mereka terlibat secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Daripada 10 sukarelawan muda yang terbabit dalam menjayakan program ini, sembilan adalah anak tempatan Sarikei.

“Ini membuktikan golongan belia tempatan bukan sekadar menjadi peserta, malah berpeluang memainkan peranan dalam mengurus dan menjayakan sesuatu program,” katanya.

Dalam pada itu, Yusuf turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Sukarelawan Sarawak (Sarawak Volunteers), Nyambung Blaja, PETROS, TEGAS, CENTEX dan Institut Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan Alam Sekitar (IBEC), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) atas kerjasama menjayakan program berkenaan.

CAPTION: Dato Yusuf Abd Wahab menunjukkan baju sukarelawan muda sempena Program Mansang Anak Sarawak Zon Sarikei 2026 di SMK Sarikei Baru.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU