Jangan terpedaya pinjaman tidak wujud – Mustafa.

KUCHING: Sebanyak tujuh kes penipuan pinjaman tidak wujud direkodkan di seluruh Sarawak dalam tempoh seminggu ini dari 29 April hingga 5 Mei, melibatkan kerugian sebanyak RM95,520.

Manakala bagi tempoh 1 Januari hingga 5 Mei, sebanyak 91 kes dicatatkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM767,171.04.

Setakat tahun ini, sebanyak 12 orang ditangkap yang disyaki terlibat dalam menjalankan kes penipuan tersebut.

Justeru, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah mengingatkan masyarakat supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan menyemak kesahihan sesuatu perkara yang memerlukan mereka membuat pembayaran pendahuluan.

“Kecuaian ini boleh mendatangkan masalah kepada masyarakat kerana mereka sudah semestinya di dalam kesusahan sehingga ingin membuat pinjaman wang tetapi mereka ditipu pula oleh sindiket penipuan pinjaman tidak wujud ini.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman melalui media sosial facebook, laman sesawang atau melalui aplikasi telefon pintar seperti WhatsApp, WeChat, Instagram dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mustafa turut menasihatkan masyarakat supaya mendapatkan pinjaman wang daripada institusi kewangan yang sah, koperasi berdaftar atau syarikat pemberi pinjaman wang berlesen jika benar-benar terdesak untuk membuat pinjaman.

Katanya pinjaman yang dibuat oleh orang ramai adalah tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Akta Suruhanjaya Koperasi 2007, Akta Koperasi 1993, Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 dan sebagainya.

Beliau menambah masyarakat juga dinasihatkan agar tidak meminjamkan atau menjual akaun bank kepada mana-mana pihak sama ada dikenali atau tidak.

“Sekiranya akaun bank tersebut digunakan oleh penjenayah, pemilik akaun jika dibuktikan boleh dituduh di mahkamah,” katanya.

Mustafa menambah masyarakat yang mempunyai apa-apa kemusykilan atau berkemungkinan telah ditipu boleh menyalurkan maklumat melalui WhatsApp atau SMS ke Commercial Crime Investigation Department (CCID) Infoline di talian 013-211 1222.

Layari portal rasmi http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/# untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan seumpamanya.