ARTIKEL

Raindrops on the window, abstract background. Blue tone

Janji Abot

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Butir-butir hujan memijak atap Sekolah Kebangsaan Singkir Laut.

Seperti tapakan kaki kuda yang berjalan di atas simen.

Makhluk jingga beradu kembali, diselimut mega tebal. 

Ada titisan kristal mengalir pelahan dari pelupuk mata Sarah. 

Gadis kecil itu melemparkan pandangannya jauh ke petak-petak sawah hingga ke kebun getah.

“Sudah sebulan Abot pergi, masih tak pulang ke kandang”. 

Suara halus keluar dari rekahan bibir Sarah dan hanya singgah di cuping telinganya sahaja. 

Tingkap bilik darjah makin kelabu, dilitupi wap dan lebat hujan. 

“Sarah, apa yang kau tenungkan tu?

“ Izan bertanya sambil matanya terbang mencari sesuatu di dalam deras hujan.

“Sarah! kaudengar ke tak? “ 

Suara Izan memecahkan riuh kelas yang sedang menanti guru untuk pelajaran Bahasa Melayu. 

“Aku rindu Abot”, ujar Sarah sambil mengesat air matanya yang masih mengalir perlahan seperti tali air sekitar bendang di Kampung Singkir Laut. 

Izan terdiam, dia seolah memahami apa yang dirasai Sarah, rakannya sejak tadika hingga hari ini. 

Kemana-mana, mereka berdua.

Seperti belangkas. 

Masuk saja di bilik darjah, cikgu Sarimah berdiri di hadapan kelas. 

“Murid-murid, hari ini cikgu akan ajar peribahasa”, suara Cikgu Sarimah kuat hingga bunyi detak hujan tenggelam dalam kenyaringan suaranya. 

Sarah, Izan dan murid-murid lain tekun memandang papan hitam. 

Cikgu Sarimah menulis sesuatu.

“ Mior, sila baca peribahasa yang cikgu tulis”.

Arahan dari Cikgu Sarimah dituruti Mior, pelajar pintar di dalam kelas 2 Teratai. 

“Kerbau berpegang pada tali, manusia berpegang pada janji”. 

Lancar Mior membaca peribahasa yang tertulis di dinding papan hitam. 

“ Bagus, peribahasa ini bermaksud, janji harus ditepati”.

Terang Cikgu Sarimah. 

“Sebagai manusia, kita mesti tunaikan segala janji, jangan suka berjanji tapi tak ditepati” Cikgu Sarimah mengingatkan murid akan kepentingan memegang janji. 

Sarah tunduk, matanya hinggap di loceng perak tergangung di kotak pensil. 

“Abot… ni loceng untukkau, aku pakaikan dekat leher, satu lagi untuk aku”. 

Kata Sarah pada Abot di kandang lembu ayahnya kira-kira tiga bulan yang lalu semperna hari kelahiran Abot ketiga tahun. 

Suram di wajah Sarah tidak mampu disorok dari pandangan Cikgu Sarimah. 

“Sarah, kenapa muka sedih dari tadi?” 

Sarah memandang wajah bujur Cikgu Sarimah “Abot, lembu ayah tak pulang-pulang,“ jawab Sarah. 

Matanya hinggap di wajah izan seketika.

“Abot dah janji semasa saya lepaskan dia dari kandang untuk mengelak dikorban, tapi dia tak pulang ke kandang sampai hari ini, dia tipu”. 

Nada kecewa dan sedih bercampur dari pita suara.

“ Kring.. Kring… Kring… Sarah seakan-akan kenal bunyi itu.

Dia memandang tingkat.

Dalam renyai, ada kelibat makhluk bermandikan hujan. “Abot…,” jerit Sarah.

BERITA LAIN

PEJUANG NAFKAH

Dia tidak pernah ambil tahu jika wang di saku sering berbaki cukup-cukup nyawa. Dia tidak pernah peduli kalau ringgit makin mengukuh merujuk ungkapan orang ekonomi.

GELANDANGAN

Melintasi kedai serba ada kulihаt dia berbaring santai menyesak ruang masуk ke pintu kedai pelanggan lalu-lalang memandang sinis menutup hidung. Kita ini miskin atau kaya

BERITA TERBARU