ARTIKEL

CEMERLANG... Barisan pemain Hornetz SK Tabuan Hilir

Jaringan bergaya Aqeel bantu Hornetz SK Tabuan Hilir julang piala

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pasukan Hornetz SK Tabuan Hilir melakar sejarah tersendiri selepas berjaya menjuarai Kejohanan Tertutup Bola Sepak Belia Petronas (PYFCT) 2025 kategori bawah 10 tahun, hari ini.

Dua jaringan mantap Afiq Asyraff Shamsul dan Aqeel Zafran Mohammad Safarihullah menjadi penentu skuad kendalian Mohamad Taha Eber menjulang kejuaraan pada aksi final yang berlangsung di Stadium Negeri Sarawak.

Sekali gus memastikan pasukan Cascara Junior sekadar berpuas hati menduduki kedudukan sebagai naib juara.

Kemenangan itu mengesahkan kejuaraan milik pasukan Hornetz dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500, trofi dan juga medal.

Manakala pasukan Cascara Junior menerima hadiah wang tunai sebanyak RM300 selaku naib juara.

“Saingan sebelum ini menjadi penguat semangat untuk terus bangkit selepas sekadar berpuas hati menduduki tangga keempat kejohanan.

“Alhamdulillah, sasaran kali ini untuk mencapai kelayakan separuh akhir tercapai.

“Malah, kami melepasi sasaran sebenar dengan mengorak langkah hingga mampu menjuarai kejohanan pada kali ini,” ujar Mohamad Taha kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan.

Menurutnya, tiada rahsia di sebalik kejayaan melainkan hasil kerja keras dan disiplin sepanjang latihan oleh barisan pemain.

“Kita meneruskan latihan walaupun tiada kejohanan terdekat untuk memastikan prestasi para pemain konsisten dan sentiasa dalam keadaan bersedia.

“Alhamdulillah, mereka memberikan kerjasama dengan baik kepada pasukan kejurulatihan. Hasilnya, kita dapat melihat mereka dapat bermain dengan yakin dan selesa sepanjang perlawanan,” ujarnya.

Sementara itu, pasukan Pusat Pembangunan SSC menduduki tempat ketiga kejohanan selepas berjaya menewaskan pasukan All Ways dengan kemenangan tipis 1-0.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU