KUCHING: Sarawak berbangga kerana diberi kepercayaan menjadi tuan rumah kepada perhimpunan bertaraf antarabangsa melibatkan pakar kulinari, pemimpin industri dan wakil kreatif dari seluruh dunia menerusi World National Tapas and World Asia Tapas Competition, Exhibition and Seminar 2025.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew yang mewakili Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Kerajaan Sarawak menghargai semua pihak yang menjayakan acara tiga hari itu.

“Sumbangan anda semua sangat penting dalam menjayakan acara ini. Kami berasa amat bertuah dapat menjadi tuan rumah kepada kumpulan profesional yang berbakat dan berdedikasi.
“Sepanjang berlangsungnya pertandingan dan seminar, para peserta bukan sahaja dapat menunjukkan kehebatan masakan mereka, malah turut bertukar pandangan dan membina jaringan kerjasama yang boleh memberi impak positif jangka panjang, katanya dalam majlis penutupan rasmi yang berlangsung di Dewan Persidangan KTS Garden di sini, hari ini.
Ujarnya, kehadiran Menteri Pelancongan, Acara dan Penjenamaan Bandar Valladolid, Sepanyol, Blanca Jiménez Cuadrillero, bersama delegasi mereka membuka ruang baharu untuk menjalinkan kerjasama dalam pelancongan, gastronomi dan pertukaran budaya.
“Kami amat berharap hubungan yang terbentuk di sini menjadi pemangkin kepada penganjuran bersama acara antarabangsa pada masa akan datang,” ujar beliau.
Sebastian turut merakam ucapan tahniah kepada semua peserta dan pemenang pertandingan tapas berprestij sambil menyifatkan semangat, kreativiti dan komitmen mereka sebagai sesuatu yang mengagumkan.
“Kepada para pemenang, terima kasih kerana mengharumkan nama negara masing-masing.
“Kami doakan anda terus cemerlang apabila mewakili rantau ini ke World Tapas Championship di Valladolid, November nanti,” tambahnya.
Majlis penutupan tersebut menandakan berakhirnya sebuah acara antarabangsa yang berjaya menjadikan Sarawak sebagai pentas utama dunia gastronomi dan kreativiti, sekaligus membuka lembaran baharu kepada kerjasama serantau dan global.

