ARTIKEL

Keadaan jerebu menyelubungi kawasan sekitar Kuching, pagi ini, menyebabkan jarak penglihatan berkurangan. FOTO Levrone Aigle. GAMBAR FAIL

JAS pantau kawasan berisiko pembakaran terbuka di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kawasan yang dikenal pasti berisiko berlaku pembakaran terbuka kini diberi perhatian khusus Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam usaha membendung kemerosotan kualiti udara.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Azuri Azizah Saedon, berkata tindakan itu turut disusuli pemantauan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari semasa ke semasa bagi memastikan langkah sewajarnya dapat diambil berdasarkan keadaan semasa.

“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka serta menghadapi situasi jerebu,” katanya dalam kenyataan.

Azuri menambah, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat sekiranya bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam.

Selain itu, katanya, semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan sekiranya bacaan IPU melebihi 100 sebagai langkah melindungi keselamatan dan kesihatan murid.

“Sekolah, tadika dan taska pula perlu ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200, manakala pihak pengurusan institusi berkenaan diminta sentiasa memantau perkembangan bacaan IPU,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, katanya, persediaan awal perlu dilaksanakan sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah paras 200 bagi membolehkan tindakan penutupan sekolah, tadika dan taska dibuat dengan segera.

Pada masa sama, katanya, Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.

“JAS bersama kementerian dan agensi berkaitan akan terus bertindak dengan lebih pantas dan responsif berdasarkan tindakan yang digariskan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

“Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah dan premis mereka dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kebakaran, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 memperuntukkan denda minimum RM25,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, bagi kesalahan berkaitan pembakaran terbuka.

Justeru, katanya, orang ramai turut diminta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU