ARTIKEL

Jefferson merakamkan kenangan bersama tetamu yang hadir dalam Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Bahagian Kapit 2025. | Foto: UKAS

Jasa Pahlawan Dikenang di Kapit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KAPIT: Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Bahagian Kapit 2025 menjadi wadah memperingati jasa serta pengorbanan perwira negara yang telah terkorban demi keamanan tanah air.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, Hari Pahlawan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya satu platform penting untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.

“Keamanan dan pembangunan yang dinikmati hari ini tidak mungkin dicapai tanpa pengorbanan pahlawan negara.

“Kita perlu menghargai jasa mereka dengan menanamkan nilai patriotik dalam diri setiap warga Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Goram berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Bahagian Kapit 2025 di Tugu Bujang Berani, Tebingan Baru Kapit, semalam.

Jefferson turut mengimbau keberanian PW II Lenggu Cina dari Kapit yang gugur dalam pertempuran di Batu Babi, Song, ketika menentang pengganas komunis sebagai contoh teladan wira yang wajar dikenang.

Sebagai tanda penghargaan terhadap jasa veteran, Jefferson mengumumkan peruntukan RM30,000 melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi membantu pengurusan serta baik pulih Wisma Veteran Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kapit.

Majlis anjuran PVATM Cawangan Kapit itu menghimpunkan kira-kira 250 peserta termasuk 180 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari seluruh Sarawak.

Majlis berakhir dengan sesi bergambar bersama para veteran ATM, PDRM, balu serta keluarga pahlawan sebagai simbol penghargaan terhadap bakti dan pengorbanan mereka kepada negara.

Turut hadir ialah Pegawai Tugas Khas Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw, Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit, selain pimpinan masyarakat, balu dan keluarga veteran.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU