Sambutan Hari Pahlawan baru-baru ini mengingatkan kita akan jasa dan pengorbanan besar para pejuang yang mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Mereka bukan sahaja mencurahkan tenaga, malah sanggup mengorbankan masa, harta dan nyawa demi memastikan keamanan yang kita nikmati pada hari ini.
Dalam Islam, pengorbanan sedemikian amat tinggi nilainya, apatah lagi jika dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah membeli daripada orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh …” (Surah al-Taubah, ayat 111)
Ayat ini jelas menunjukkan pengorbanan seorang pejuang pada jalan Allah merupakan suatu “jual beli” yang menguntungkan kerana ganjarannya ialah syurga yang abadi.
PENGORBANAN YANG BESAR
Para pahlawan tidak pernah menghiraukan kesusahan dan kepayahan yang dihadapi sepanjang perjuangan mereka.
Mereka sanggup meninggalkan keluarga dan keselesaan hidup, malah mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kebenaran.
Sejarah Islam sendiri sarat dengan kisah para sahabat Nabi SAW yang sanggup mengorbankan segala-galanya.
Lihatlah keberanian Saidina Hamzah RA dalam Perang Uhud serta kesungguhan para sahabat dalam Perang Badar.
Mereka tetap berjuang walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan.
Hal ini membuktikan kekuatan iman mampu melahirkan keberanian yang luar biasa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah, maka dialah yang berada pada jalan Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pengorbanan tidak terbatas pada peperangan semata-mata.
Dalam konteks semasa, anggota keselamatan, termasuk anggota tentera, yang mempertahankan keamanan negara juga boleh termasuk dalam pengertian jihad sekiranya tugas tersebut dilaksanakan dengan niat yang ikhlas.
Mereka mengorbankan masa bersama-sama keluarga serta berdepan dengan pelbagai risiko dan ancaman demi memastikan rakyat dapat hidup dengan aman.
GANJARAN MENANTI
Setiap pengorbanan yang dilakukan pada jalan Allah tidak akan sia-sia.
Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang bersungguh-sungguh berjuang dengan penuh keikhlasan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengatakan bahawa orang yang terbunuh pada jalan Allah itu mati. Bahkan, mereka hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 169)
Ayat ini menegaskan para syuhada tidak mati, sebaliknya hidup dalam keadaan yang lebih mulia di sisi Allah SWT.
Hal ini merupakan suatu kemuliaan yang tidak dapat ditandingi oleh apa-apa pun di dunia.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang pun yang masuk ke dalam syurga ingin kembali ke dunia, walaupun dia memiliki segala yang ada di dunia, kecuali orang yang mati syahid.
“Dia ingin kembali ke dunia lalu terbunuh lagi sebanyak sepuluh kali kerana melihat kemuliaan yang diberikan kepadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menggambarkan betapa agungnya ganjaran bagi mereka yang berkorban pada jalan Allah.
Malah, mereka yang merasai nikmat syurga masih ingin kembali untuk berjuang semula kerana begitu besarnya pahala yang dijanjikan.
Pengorbanan para pahlawan merupakan jasa yang tidak ternilai. Mereka menjadi benteng pertahanan yang menjamin keamanan dan kesejahteraan masyarakat.
Sebagai generasi yang menikmati hasil pengorbanan tersebut, kita seharusnya menghargai jasa mereka serta mencontohi semangat pengorbanan itu dalam kehidupan.
Marilah kita bersama-sama berdoa agar para pahlawan yang gugur ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta dikurniakan ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.
Semoga kita juga diberikan kekuatan untuk berkorban pada jalan kebenaran dalam apa-apa jua bentuk sekalipun.
H: Pengorbanan Hanzalah RA
Soalan: Apakah bentuk pengorbanan Hanzalah RA dalam perjuangan bersama Rasulullah SAW?
Hanzalah Abi ‘Amir RA merupakan antara sahabat Nabi SAW yang memperlihatkan pengorbanan luar biasa dalam sejarah Islam.
Kisah beliau yang terkenal berlaku dalam Perang Uhud dan menggambarkan keikhlasan serta kecintaannya yang mendalam terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya.
Hanzalah RA baru sahaja berkahwin pada malam sebelum berlakunya Perang Uhud.
Ketika itu, beliau sedang menikmati kebahagiaan bersama isterinya.
Namun begitu, apabila mendengar seruan untuk menyertai peperangan, beliau segera meninggalkan rumah dan menuju ke medan perang.
Beliau sanggup meninggalkan kesenangan serta kepentingan diri demi mempertahankan Islam.
Disebabkan tergesa-gesa untuk menyertai peperangan, Hanzalah RA keluar dalam keadaan belum sempat mandi wajib selepas berjunub.
Beliau terus menuju ke medan perang dengan penuh keimanan dan keberanian.
Dalam pertempuran tersebut, Hanzalah RA berjuang dengan gagah berani sehingga gugur sebagai syahid pada jalan Allah.
Selepas peperangan, Rasulullah SAW memberitahu para sahabat Hanzalah RA sedang dimandikan oleh para malaikat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sahabat kamu sedang dimandikan oleh para malaikat.” (Riwayat Ibn Hibban, al-Hakim dan al-Bayhaqi)
Setelah mendengar perkara tersebut, para sahabat bertanya kepada isteri Hanzalah RA tentang keadaannya sebelum keluar ke medan perang.
Isterinya menjelaskan Hanzalah RA keluar dalam keadaan berjunub.
Allah SWT memuliakannya apabila jasadnya dimandikan oleh para malaikat. Sejak itu, beliau dikenali dengan gelaran Ghasil al-Mala’ikah, yang bermaksud “orang yang dimandikan oleh para malaikat”.
Kisah Hanzalah RA menggambarkan pengorbanan yang amat besar, iaitu meninggalkan kebahagiaan dunia yang baru sahaja dinikmatinya demi menyahut seruan untuk mempertahankan Islam.
Kisah tersebut juga menunjukkan keikhlasan dalam perjuangan akan mendapat kemuliaan yang luar biasa di sisi Allah SWT.
Hanzalah RA menjadi teladan kepada umat Islam kepentingan agama perlu didahulukan daripada kepentingan diri.
Keikhlasan dan kesungguhan dalam berjuang pada jalan Allah akan membawa ganjaran yang tidak ternilai, sama ada di dunia mahupun di akhirat.



