LAWAS: Polis Sarawak sedang melaksanakan proses kenaikan pangkat semua Ketua Polis Daerah (KPD) di negeri ini daripada Deputi Superintenden Polis (DSP) kepada Superintenden, bagi memperkukuh struktur kepimpinan dan keberkesanan operasi di peringkat daerah.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, berkata kontinjen Sarawak merupakan yang terakhir melaksanakan penyelarasan tersebut berbanding negeri-negeri lain dan proses berkenaan kini giat dipercepat ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
“Hanya tinggal kontinjen Sarawak yang masih mempunyai Ketua Polis Daerah berpangkat DSP.
“Alhamdulillah, pucuk pimpinan PDRM telah bersetuju untuk melaksanakan kenaikan pangkat ini dan dengan kehadiran saya mengetuai kontinjen Sarawak, saya akan berusaha mempercepat agar tiada lagi KPD berpangkat DSP,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Kepimpinan PDRM Kontinjen Sarawak Bilangan Tiga di Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak, pegawai kanan PDRM Kontinjen Sarawak dan Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan.
Menurut Mohamad Zainal, kenaikan pangkat itu penting bagi memastikan setiap Ketua Polis Daerah mempunyai kuasa dan tanggungjawab yang sepadan dengan cabaran tugas di Sarawak, khususnya dari segi penguatkuasaan dan keselamatan awam.
“Sarawak negeri yang luas dan mempunyai daerah dengan cabaran operasi berbeza. Dengan peningkatan pangkat ini, diharap ia dapat memperkukuh kecekapan dan semangat kepimpinan di peringkat daerah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Polis Sarawak akan membantu Kontinjen Sabah dalam memastikan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadual berlangsung pada 29 November depan.
Katanya, keputusan mengenai jumlah anggota yang akan ditugaskan ke Sabah akan dibuat oleh pihak Bukit Aman, namun keutamaan akan diberikan kepada daerah bersempadan seperti Lawas, Limbang dan Miri.
Beliau turut menjelaskan bahawa anggota PDRM dari negeri Sabah mempunyai hak mengundi seperti ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kita ada proses undi awal dan undi pos. Kebiasaannya mereka yang bertugas di Sabah akan mengundi di Sabah, manakala yang bertugas di Sarawak akan mengundi di Sarawak, kecuali bagi mereka yang baru berpindah,” katanya. – TVS




